Warga emas dicekup tak puasa

Syeikh Azhari (kiri) memeriksa bungkusan nasi dijual di kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.
Syeikh Azhari (kiri) memeriksa bungkusan nasi dijual di kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.
A
A
A

TUNJANG - Seorang warga emas sanggup memberi alasan memiliki masalah kesihatan apabila tidak berpuasa ketika dicekup menikmati minuman di sebuah kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.

Ketika operasi, warga emas berusia 71 tahun itu enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan lebih kurang lapan minit antara lelaki itu dengan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

Lebih mengejutkan, lelaki itu sanggup bertindak terbaring atas lantai kedai berkenaan semasa pergelutan semata-mata menunjukkan dia kononnya kurang sihat.

Bagaimanapun, warga emas bekerja kampung itu gagal memberi jawapan sahih mengenai penyakit apabila disoal penguatkuasa JHEAIK.

Sehubungan itu, notis saman dikeluarkan terhadap warga emas dalam operasi selama tiga jam bermula jam 10 pagi hingga 1 petang disertai 25 anggota penguat kuasa termasuk anggota dari pejabat agama Kota Setar, Yan dan Pendang.

Bebeberapa penguat kuasa JHEAIK menyoal dua lelaki yang didapati minum di kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.
Bebeberapa penguat kuasa JHEAIK menyoal dua lelaki yang didapati minum di kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah JHEAIK, Syeikh Azhari Mohamad berkata, warga emas itu memberi alasan tidak sihat apabila dicekup sedang minum di kedai itu.

Syeikh Azhari berkata, pihaknya mendapati warga emas terbabit sedang minum ketika membuat serbuan masuk ke dalam kedai makan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki warga emas terbabit mengaku tidak berpuasa disebabkan memiliki masalah kesihatan ketika ditahan dan disoal siasat anggota penguat kuasa JHEAIK.

"Malah, dia tidak memberi jawapan sahih berkaitan penyakit sebenar dihidapi dirinya apabila disoal lanjut," katanya selepas Operasi Ramadan sekitar kawasan itu.

Syeikh Azhari berkata, notis saman turut dikeluarkan terhadap seorang lelaki berusia 50 tahun kerana didapati minum di kedai makan sama.

Katanya, lelaki terbabit turut memberikan alasan tidak sihat dengan mengatakan dia merupakan pemegang kad OKU kategori ada masalah kesihatan mental.

Katanya, notis saman dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan.

Syeikh Azhari berkata, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Syeikh Azhari (kiri) menyoal siasat dua lelaki terbabit yang didapati minum di kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.
Syeikh Azhari (kiri) menyoal siasat dua lelaki terbabit yang didapati minum di kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kedua lelaki tersebut dilepaskan bersama notis saman dikeluarkan ke atas mereka dan dikehendaki datang ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.

Syeikh Azhari berkata, sehingga kini, lima notis dikeluarkan kepada orang awam kerana makan atau minum di khalayak ramai sejak hari pertama Ramadan di bawah seksyen itu.

"Ramai sempat melarikan diri apabila operasi dilaksanakan, bagaimanapun JHEAIK akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan mengesan golongan tidak berpuasa dan tidak menghormati bulan Ramadan itu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang awam beragama Islam dinasihatkan agar tidak keterlaluan makan atau minum di khalayak ramai bagi menghormati bulan Ramadan dan orang lain sedang berpuasa.