Polis tahan 10 lelaki terlibat rusuhan di bulatan Pulau Carey

Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan senjata yang digunakan dalam satu kejadian merusuh di bulatan Pulau Carey pada Sabtu.
Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan senjata yang digunakan dalam satu kejadian merusuh di bulatan Pulau Carey pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis menahan 10 lelaki warga tempatan kerana terlibat dalam kejadian merusuh di bulatan Pulau Carey dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 16 tahun menyatakan telah dipukul sekumpulan lelaki pada jam 11.30 malam.

Beliau berkata, kejadian tersebut berpunca daripada tindakan menarik kereta yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di kawasan Telok Panglima Garang, Selangor.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menangkap enam lelaki di kawasan Banting, Selangor pada Ahad.

"Hasil soal siasat, polis berjaya menahan empat lagi lelaki di kawasan Telok Panglima Garang jam 9 malam hari sama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 51 tahun di mana empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

"Kesemua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Abd Rahman di talian 013-9789096," katanya.