Lelaki warga asing rempuh kereta polis ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADANG BESAR - Seorang lelaki warga asing ditahan selepas bertindak agresif merempuh sebuah kereta polis di hadapan Taman Kastam pada Ahad.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 malam itu menyaksikan suspek, 32, yang menaiki kereta jenis Proton Perdana menyedari kehadiran kereta polis dan bertindak memecut laju dengan melanggar sebuah kereta polis yang dinaiki tiga anggota.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek berjaya meloloskan diri.

"Suspek bertindak keluar kereta dan meloloskan diri di kawasan semak di Kampung Kok Mak dan berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam, di sebuah rumah di Padang Besar kira-kira 9 malam semalam (4 Sept),” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Katanya, hasil pemeriksaan polis mendapati bahawa suspek memiliki Mykad milik orang lain dan kad pengenalan warga Thailand.

"Hasil siasatan awal mendapati kad pengenalan rakyat Malaysia itu dilaporkan hilang pada 2021,” katanya.

Mohd Shokri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki MyKad orang lain.

Beliau berkata, suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, direman empat hari bermula Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shokri berkata, ketiga-tiga anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama