PERKESO Kelantan bantu 1,162 individu kembali bekerja

Nora (tiga dari kanan) dan Abdullah yang hadir ke kedai runcit Kamarudin (kiri) pada Selasa.
Nora (tiga dari kanan) dan Abdullah yang hadir ke kedai runcit Kamarudin (kiri) pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan berjaya membantu 1,162 individu kembali mempunyai pendapatan melalui program Return to Work (RTW) yang dijalankan bermula tahun 2017.

Mereka antaranya terdiri daripada individu yang hilang upaya akibat penyakit kronik dan cedera selepas kemalangan termasuk di jalan raya.

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, mereka ialah Orang Berinsurans (OB) dari seluruh negeri Kelantan yang dibantu pihaknya untuk kembali mendapat pekerjaan.

“Keseluruhan OB yang dibantu ialah 1,723 dan 1,162 daripadanya sudah kembali bekerja sejak 2017 sehingga kini.

“Menerusi RTW ini paling penting sebenarnya proses yang dilakukan PERKESO dalam membantu peserta pulih secara fizikal dan juga semangat selepas ditimpa kemalangan,” katanya ketika ditemui semasa Penyerahan Peralatan Kedai Runcit di Pengkalan Chepa di sini, pada Selasa.

Peralatan bernilai RM4,000 itu diberikan melalui Tajaan Program Cakna Prihatin kepada peniaga, Kamarudin Mohd Din, 52, yang kudung kaki kerana dipotong akibat kencing manis sejak Mei tahun lalu.

Turut hadir, Ketua Pentadbiran dan Haji Tabung Haji negeri Kelantan, Abdullah Mohd Roslan sebagai wakil yang bekerjasama.

Nora berkata, setiap pencarum PERKESO yang mengikuti program RTW akan melalui proses pemulihan sistematik yang berteraskan konsep biosikososia merangkumi faktor biofizikal, psikologikal dan sosial.

Artikel Berkaitan:

“Usaha juga dilakukan dengan jalinan kerjasama dengan pemegang taruh antaranya Lembaga Tabung Haji bagi membantu OB kembali menjana pendapatan secara berdikari.

“Mereka yang kembali dapat kerja dan meningkatkan ekonomi diri ini membabitkan penglibatan dalam bidang keusahawanan,” ujar beliau.