PERKESO bantu bapa kudung bangkit daripada kemurungan

Pemberian kaki palsu dan pelbagai kelengkapan perniagaan runcit makanan kecil-kecilan yang diusahakan diharap mampu menjana pendapatan tambahan

Serahan peralatan perniagaan daripada Nora (tiga dari kiri) kepada Kamarudin (tiga dari kiri). Kamarudin melihat kaki palsu yang digunakan untuk membantukanya berjalan.
Serahan peralatan perniagaan daripada Nora (tiga dari kiri) kepada Kamarudin (tiga dari kiri). Kamarudin melihat kaki palsu yang digunakan untuk membantukanya berjalan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan tampil membantu lelaki kudung bangkit daripada kemurungan dengan pemberian kaki palsu dan pelbagai kelengkapan untuk perniagaan runcit makanan secara kecil-kecilan yang diusahakan di rumahnya di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa dekat sini.

Bapa kepada dua anak itu, Kamarudin Mohd Din, 52, hilang kaki kanan paras betis selepas dipotong di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Mei tahun lalu akibat komplikasi kencing manis.

Menurutnya, sebelum itu dia hanya mengalami bengkak dan sakit pada bahagian tapak kaki hingga tidak dapat berjalan sebelum berjumpa doktor dan dimaklumkan kakinya perlu dipotong bagi menggelakkan jangkitan merebak lebih teruk.

“Saya sudah 12 tahun menghidap penyakit kencing manis dan selepas kehilangan sebelah kaki yang dipotong, saya dirunding kesedihan melampau hingga kemurungan hampir setahun.

“Saya buntu untuk kembali bekerja kerana sebagai ketua keluarga perlu menyara isteri dan dua anak termasuk seorang orang kurang upaya sehinggalah PERKESO datang bantu saya bangkit berjalan serta bekerja menggunakan kaki palsu yang diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa serahan pengisar, peti minuman dan peti sejuk beku bernilai RM4,000 oleh Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Nora (dua dari kiri) dan Abdullah (tiga dari kiri) melihat kaki palsu yang diberikan kepada Kamarudin (tengah).
Nora (dua dari kiri) dan Abdullah (tiga dari kiri) melihat kaki palsu yang diberikan kepada Kamarudin (tengah).

Turut hadir, Ketua Pentadbiran dan Haji Tabung Haji negeri Kelantan, Abdullah Mohd Roslan sebagai wakil yang bekerjasama.

Kamarudin berkata, ketika masih sihat, dia bekerja sebagai penguji makanan di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung dan bekerja di sebuah pasar raya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia kemudiannya mengusahakan kedai runcit di rumahnya namun terpaksa gulung tikar ketika pandemik Covid-19 dan kini kembali mengusahakan kedai runcit menjual makanan secara kecil-kecilan bersama isterinya, Ku Sharmila Shafien, 52, sejak tiga tahun.

“Sebelum ini, saya hilang punca pendapatan dan cuba berniaga kembali hingga berjaya memperoleh RM800 hingga RM1,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

Kamarudin ialah Orang Berinsurans di bawah PERKESO yang mengalami hilang upaya dan dibantu melalui Program Return to Work serta Program Cakna Prihatin.