DUN Pahang rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Johari

A
A
A
KUANTAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Selasa merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau negeri, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang merakamkan ucapan itu sebelum sesi soal jawab bermula pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang di sini, juga sebak semasa membaca profil ringkas Allahyarham.

"Sesungguhnya rezeki, jodoh dan ajal adalah di tangan dan ketentuan Allah S.W.T. Hari terus beredar dan masa cepat berlalu, namun kita masih ingat, sedih dan berasa pilu terutamanya semasa menerima berita pemergian Allahyarham Johari.

"Sama-sama kita ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga isteri beliau Datin Seri Maziah Samsudin tabah menerima ketentuan Ilahi. al-Fatihah dan semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya.

Mohd Sharkar seterusnya menjemput semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang yang beragama Islam untuk menghadiakan bacaan surah al-Fatihah kepada Allahyarham, manakala yang bukan Islam bertafakur selama seminit.

Johari, 53, adalah antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berdekatan Bandar Elmina, semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Selangor dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

Selain lapan individu dalam pesawat, nahas itu turut mengorbankan masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui jalan itu semasa pesawat malang tersebut terhempas.

Johari merupakan ADUN Pelangai selepas menang kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum dilantik untuk menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk sektor korporat.

Pada PRU15, Johari yang bertanding kali pertama atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).
Artikel Berkaitan:


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai berlangsung pada 7 Okt ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 23 September ini manakala 3 Oktober sebagai hari pengundian awal. - Bernama.