'Mat Salleh' buat hal, berenang dalam banjir kilat

Lelaki warga asing bertindak berenang di dalam banjir di kawasan Komtar dalam kejadian banjir kilat pada pagi Isnin.
Lelaki warga asing bertindak berenang di dalam banjir di kawasan Komtar dalam kejadian banjir kilat pada pagi Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga asing mendapat perhatian orang ramai apabila bertindak berenang di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ketika kawasan tersebut dilanda banjir kilat pada pagi Isnin.

Warga asing berusia lingkungan 50-an itu kelihatan gembira selain membuat pelbagai aksi ketika beberapa orang awam mengambil gambar dan merakam videonya.

Difahamkan, lelaki tersebut melakukan aksi tersebut dalam beberapa minit sebelum beredar dari kawasan berkenaan.

Nurul Iswani Rahmad, 30-an berkata, dia yang ketika itu sedang menunggu hujan reda terkejut dengan aksi warga asing tersebut yang tiba-tiba berenang di situ.

"Saya tunggu hujan reda untuk ke kedai makan berdekatan terkejut apabila ternampak lelaki mat saleh itu sedang berenang dan melompat-lompat dalam air banjir.

"Ketika itu hujan memang lebat dan air mula naik di sini. Saya dan rakan-rakan tak sangka dia nak buat macam itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sementara itu, tular satu klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja kedai makan telah menangkap seekor ular sawa di bawah bangunan Komtar berdekatan stesen bas di situ.

Seorang lelaki bertindak berani menarik seekor ular sawa yang dipercayai tersangkut pada longkang di bawah bangunan Komtar.
Seorang lelaki bertindak berani menarik seekor ular sawa yang dipercayai tersangkut pada longkang di bawah bangunan Komtar.

Artikel Berkaitan:

Klip video berdurasi satu minit 54 saat itu memaparkan lelaki berkenaan menarik haiwan tersebut yang dipercayai tersangkut pada longkang ke kawasan yang lebih selamat.

Difahamkan haiwan tersebut diambil oleh Angkatan Pertahanan Awam untuk tindakan selanjutnya.

Pada pagi Isnin, beberapa kawasan termasuk di pekarangan Komtar dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat melanda negeri ini bermula jam 11 pagi.

Selain Komtar, kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat ialah Tanjung Tokong, Air Itam, Datuk Keramat, Jalan Transfer, Jalan Rangoon, Jalan Macalister dan Jalan Magazine.

Di Jalan Macalister, antara yang terjejas teruk adalah sebuah restoran nasi kandar popular yang mana, air melimpah masuk sehingga ke ruang makan.

Tinjauan di Jalan Transfer pula mendapati, air memenuhi jalan utama di situ namun masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Kejadian banjir kilat itu menyebabkan kesesakan teruk di sekitar bandar ini.

Banjir di semua lokasi dilaporkan surut sejam kemudian.