Polis sita 13 motosikal, keluarkan 149 saman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menyita 13 motosikal dan menahan seorang lelaki dalam Operasi Samseng Jalanan di Plaza Tol Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, operasi bermula 11 malam dan tamat tiga jam kemudian itu dijalankan ekoran aduan kegiatan merempit dalam kalangan remaja yang mengganggu ketenteraman awam di lebuh raya berkenaan.

"Dalam operasi itu, sebanyak 13 motosikal telah disita dan pihak polis turut mengeluarkan 149 keping saman kerana pelbagai kesalahan trafik kepada penunggang motosikal.

"Pihak polis turut menahan seorang lelaki berumur 20-an di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melakukan aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya," katanya di sini hari ini.

Cheng San berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan terbabit.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan pihaknya menyita sembilan motosikal dalam Op Khas Motosikal di Plaza Tol Kubang Semang, di sini bermula 4 petang hingga 6.30 petang Sabtu.

Dalam operasi itu, JPJ turut mengeluarkan 124 saman kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan ubah suai motosikal tanpa kebenaran.

"Tujuan penguatkuasaan ini ialah memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah APJ 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: