Anwar perlu jawab segera isu INSAN Selangor - Hamzah

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberikan jawapan segera berhubung isu dakwaan kebocoran data peribadi membabitkan pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan perlu menjawab isu berkenaan kerana didakwa terdapat pelanggaran tata kelola di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 iaitu kesalahan mendaftarkan konsumer secara haram dalam sesuatu perkhidmatan kewangan tanpa pengetahuan dan kebenaran penama adalah jenayah.
“Apakah pelanggaran tata kelola ini boleh didiamkan begitu saja? Lebih melampau lagi jika ada polisi insurans dikeluarkan ke atas penama yang telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Hamzah berkata, sudah lebih sebulan isu berkenaan didedahkan, namun sehingga kini Menteri Kewangan yang dikatakan jaguh tata kelola membisu.