Pertahan mandat PH di Pulai, Simpang Jeram - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mandat Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram perlu dipertahankan supaya rakyat di situ akan terus menikmati perkhidmatan yang terbaik selain menerima limpahan pembangunan dan ekonomi.

Pengerusi BN Sabah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sehubungan itu, rakyat perlu mengundi calon PH dan tidak termakan dengan janji-janji yang ditawarkan pihak lawan.

Belaiu berkata, calon-calon yang dikemukakan oleh PH-BN perlu mendapat sokongan dan dukungan daripada rakyat agar rakyat terus menerima perkhidmatan yang baik daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Di Johor ini pun sekiranya pembangkang menang, mereka tidak akan memainkan peranan apa-apa,” katanya selepas program bersama penduduk rumah pangsa Sri Indah Taman Tampoi, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berharap kerjasama dan keserasian gabungan jentera PH-BN akan terus diperkasa untuk meyakinkan pengundi seterusnya memastikan kemenangan calon PH di kedua-dua kawasan itu.

Menurutnya, jentera-jentera BN dari seluruh negara termasuk dari Sabah turut turun padang untuk sama-sama membantu berkempen dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

PH mempertaruhkan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai, yang berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi.

Artikel Berkaitan:

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang akan ditentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular serta seorang calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan S. Jeganathan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept, diikuti hari pengundian 9 September. - Bernama