Teliti kebajikan anggota Balai Polis Pulau Pangkor

Saarani menandatangani plak simbolik merasmikan Taman Angkat Amanita Taman Bukit Senyum, Lenggong sambil diperhatikan oleh Mohd Yusri (tengah) di Stadium Mini Lenggong pada Sabtu.
Saarani menandatangani plak simbolik merasmikan Taman Angkat Amanita Taman Bukit Senyum, Lenggong sambil diperhatikan oleh Mohd Yusri (tengah) di Stadium Mini Lenggong pada Sabtu.
A
A
A

LENGGONG - Polis Perak sedang meneliti aduan anggota Balai Polis Pulau Pangkor yang dilaporkan terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri ketika melaksanakan tugasan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pihaknya akan melihat perkara itu secara menyeluruh termasuk penyediaan pengangkutan air untuk balai berkenaan.

"Kita ada menerima aduan itu dan dalam tindakan kita. Saya mengarahkan ketua polis daerah Manjung (Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah) untuk ambil tindakan dan menyiasat isu ini.

"Berhubung penyediaan bot, kita akan lihat kesesuaian dan keadaan penugasan anggota. Kajian ini dilakukan melibatkan pelbagai faktor," katanya pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Taman Bukit Senyum yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Stadium Mini Lenggong di sini pada Sabtu.

Saarani (duduk, enam dari kanan) bergambar bersama Skuad Amanita, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Stadium Mini Lenggong pada Sabtu.
Saarani (duduk, enam dari kanan) bergambar bersama Skuad Amanita, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Stadium Mini Lenggong pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed.

Mohd Yusri diminta mengulas mengenai aduan anggota balai yang terpaksa membelanjakan wang lebih RM350 setiap bulan bagi bayaran parkir serta upah bot nelayan untuk menghantar orang kena tuduh (OKT) ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada waktu malam yang didedahkan Edisi Siasat menerusi aplikasi Telegram, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan warga polis untuk menyalurkan sebarang aduan mengikut saluran rasmi bagi menjaga kebajikan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Edisi Siasat bukanlah medium rasmi untuk melaporkan kepada pihak atas. Saya nasihatkan kepada warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) menggunakan saluran betul bagi memboleh kita menjaga dan mempertingkatkan lagi kebajikan pegawai serta anggota.

"Saya hanya akan mengambil tindakan jika ada laporan dan mendapatkan penyelesaian tepat daripada pegawai saya," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Yusri berkata, PDRM Perak akan terus memperkasakan kolaborasi antara pelaksanaan penugasan pegawai wanita dengan masyarakat di kawasan perumahan setempat setiap tahun.

"Amanita merupakan satu pendekatan terbaik dalam memperoleh maklumat jenayah yang tidak dilaporkan di kawasan masing-masing.

"Kita telah melaksanakan sembilan taman angkat Amanita dan program ini akan diteruskan di beberapa daerah lain," katanya.