'Saya tak sanggup lihat rakyat kesusahan'

Gunaraj bersama pasukannya menghantar air ke kawasan-kawasan terlibat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Gunaraj bersama pasukannya menghantar air ke kawasan-kawasan terlibat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
A
A
A

KLANG - 'Takkan saya hanya nak duduk rumah sedangkan masyarakat dalam kesusahan', itu antara reaksi ADUN Sentosa G Gunaraj mengenai gangguan bekalan air yang dihadapi masyarakat di kawasan ini.

Gunaraj berkata setakat ini dia bersama pasukannya menghantar air ke kawasan-kawasan terlibat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Enam hari orang susah kerana gangguan bekalan air ini, takkan saya nak duduk saja di rumah, saya rela turun bertemu mereka.

"Setakat ini saya cuba bantu yang mana semampu saya, dengan menghantar air ke kawasan terlibat di Sentosa ini, saya minta maaf andai ada kekurangan, saya tak sanggup lihat rakyat dalam kesusahan, jadi saya turun bertemu mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, malam semalam dia turun membantu di Pangsapuri Villa Perdana.

"Dua unit terlibat di mana air tak naik ke aras tangki atas melibatkan 400 unit rumah.

"Saya berusaha sedaya usaha, kita telah bersama membaikinya dan syukur sekarang keadaan sudah pulih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gunaraj bersama pasukannya bertemu penduduk membantu mengagihkan air.
Gunaraj bersama pasukannya bertemu penduduk membantu mengagihkan air.

Katanya, dia difahamkan setakat ini 93 peratus kawasan sudah menerima bekalan.

"Memang banyak perumahan yang positif malam ini, banyak yang sudah mendapat air, saya terima makluman positif berhubung paip yang sedang dibaiki.

"Saya harap esok seandainya semua sudah selesai, rakyat dapat tidur dengan lena, tak payah fikir pasal air, apa pun saya harapkan semuanya sempurna," katanya.

Antara kawasan yang terlibat di Sentosa adalah Botanik, Taman Klang Jaya, Taman Sentosa dan Taman Samarinda dan beberapa lagi kawasan perumahan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kejadian paip pecah itu telah pulih sepenuhnya dan masalah itu dijangka dapat diatasi sepenuhnya, hari ini.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kini sedang giat melakukan kerja pemulihan di kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air,” katanya.

Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.