Pelajar Muslim dalam era globalisasi

A
A
A

PADA 3 Mei lepas saya dijemput menyampaikan ucaputama dan merasmikan Majlis Gemilang Akademik Sekolah Izzuddin Shah 2018 yang juga merupakan alma mater saya sejak 35 tahun dahulu.

Dalam ucap utama tersebut saya menyentuh kecemerlangan bukanlah suatu pilihan kepada orang Islam. Kecemerlangan adalah kewajipan, dan setiap pelajar Islam tidak mempunyai pilihan lain selain daripada cemerlang kerana kecemerlangan adalah tuntutan dalam Islam itu sendiri.

Dalam mengharungi era globalisasi umat Islam tidak perlu berasa rendah diri berdepan dengan kegawatan hidup pada hari ini. Umat Islam adalah khaira ummah uhrijat linnas, umat Islam adalah ummatan wasata. Sepatutnya umat Islam berbangga dengan agamanya yang telah meletakkan mereka di tempat yang terbaik.

Umat Islam berjaya membina kegemilangan kerana memulakan langkah dari dalam iaitu hati. Dengan kekuatan takwa umat Islam mampu merubah segalanya. Imam al Ghazali pernah berkata, “hati adalah raja bagi manusia. Sebagai raja, hati mempunyai tentera-tentera yang mampu melaksanakan kehendaknya. Tentera-tentera ini dikenali sebagai tentera fizikal dan rohani. Tentera-tentera fizikal ialah segala anggota yang dikurniakan kepada manusia manakala tentera rohani ialah nafsu syahwat dan ammarah di samping ilmu adab hikmah dan kebijaksanaan,”

Antara cabaran-cabaran yang di hadapi oleh pelajar Islam ialah:

Pertama, isu penguasaan pelbagai bahasa. Walaupun Bahasa Kebangsaan diajar didalam kebanyakan matapelajaran di sekolah. Kita perlu sedar bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa teknologi global buat masa ini. Untuk itu, dalam menghadapi era globalisasi ini mereka perlu menyediakan diri dengan keupayaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang baik.

Dalam perkembangan pendidikan di Malaysia terkini khususnya pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan dalam sains dan teknologi, kerelevanan dan kelestarian bahasa Melayu sebagai wadah pengungkapan ilmu mestilah dilihat di dalam perspektif yang baru. Penggunaan bahasa Inggeris juga tidak boleh diabaikan bagi menyediakan diri ke arah persaingan global.

Namun pelajar juga tidak harus lupa sumber ilmu yang sebenarnya adalah di dalam bahasa Arab. Terdapat pelbagai ilmu yang masih belum diteroka sepenuhnya oleh orang Islam semata-mata kerana mereka tidak fasih berbahasa Arab.

Artikel Berkaitan:

Kedua, sebagai sebuah sekolah cemerlang dan sentiasa terkehadapan melangkau zamannya, amatlah penting aspek kualiti diutamakan. Seharusnya tidak ada tolak ansur yang membabitkan kualiti.

Ketiga, budaya belajar yang menitikberatkan kecemerlangan. Kesederhanaan yang dianjurkan Islam adalah pada cara hidup yang bersandarkan ilmu dan adab yang menghasilkan sikap saling hormat menghormati dan toleransi tetapi bukan kesederhanaan dalam cara dan prestasi pembelanjaran.

Dengan gelombang globalisasi yang melanda seluruh dunia kini, pelajar menjadi lebih tercabar untuk mengikuti setiap perkembagan maklumat yang terlalu pantas. Saya sarankan setiap pelajar sedar dan mengikuti konsep globalisasi yang luas meliputi soal keterbukaan pasaran, ekonomi bebas, dunia tanpa sempadan, langit terbuka, penjajahan bentuk baru dan pelbagai fenomena lain.

Akibat daripada globalisasi ini kehidupan kita telah dipengaruhi oleh insiden-insiden yang berlaku diluar sempadan kita. Perkembangan ini telah menghasilkan paradigma baru dalam hubungan antarabangsa. Arus golbalisasi melemahkan keupayaan negara bangsa dan pemerintahan untuk bertindak tanpa gangguan dalam membentuk dasar dalaman negara. Kebebasan negara merencana dasar ekonominya di peringkat domestik mengikut kehendak dan kepentingan juga sering terjejas.

Matlamat dan cita-cita yang jelas mampu memberi tenaga yang luar biasa kepada individu. Keberanian dan usaha tidak tertonjol apabila tidak dirangsang oleh matlamat dan cita-cita yang jelas. Sejarah Islam telah banyak membuktikan bahawa matlamat dan cita-cita yang jelas telah membawa kepada kejayaan di pihak Islam di dalam peperangan walaupun kekuatan dan jumlah mereka amat sedikit. Ini adalah disebabkan umat Islam mempunyai matlamat dan cita-cita yang jelas iaitu menyebarkan kalimah tauhid. Sebaliknya orang yang tidak mempunyai matlamat dan cita-cita yang jelas akan menjalani kehidupan yang hambar.

Saya juga sarankan bahawa tamat tingkatan lima bukanlah pengakhiran kepada perjuangan pelajar tetapi sebenarnya permulaan kepada perjuangan sebenar. Jadikan alam persekolahan ini sebagai medan untuk pelajar membina kekuatan diri yang utuh dan dalam masa yang sama bersiap siaga untuk menjadi seorang warganegara yang mampu memberi sumbangan kepada negara. Pelajar hari ini adalah penyambung legasi kepemimpinan akan datang. Cemerlang mereka, cemerlanglah negara. Tiada kejayaan semanis madu tanpa pengorbanan sepahit hempedu.

Para pelajar yang akan menjadi generasi pewaris kepimpinan dan peneraju pembangunan negara, mereka perlulah mempunyai jiwa besar dengan lingkungan perspektif yang luas, akal budi yang waras untuk membuat sebarang pertimbangan hala tuju kehidupan diri, agama, bangsa dan negara. Dalam hal ini, pelajar sekalian haruslah bijak membuat perancangan dan hala tuju mengenai laluan akademik dan kerjaya pada masa akan datang. Insya-Allah dengan kebijaksanaan dalam membuat pilihan ketika ini akan melakarkan masa hadapan yang unggul.

Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan selepas ini, pelajar mestilah bersedia untuk mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar batas kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan dapat dipacu sebaik mungkin oleh azam dan iltizam yang terbaik.

Dunia ini bagai lautan yang luas, kita adalah bahtera yang belayar di lautan tersebut. Kadang-kadang belajar mengikut arus di kala lain pula menongkah arus. Ada ketikanya terpaksa melabuhkan sauh da nada ketikanya berpatah arah. Telah banyak bahtera yang gagal dikemudi nakhoda menyebabkan ia karam atau rosak. Andai muatan kita adalah iman, layarnya adalah Islam sauhnya pula adalah taqwa nescaya kita akan selamat sampai ke destinasi dan tidak tersesat di lautan kehidupan ini. Adalah amat penting anda mencipta swadaya diri dan kental menghadapi segala cabaran yang bakal dilalui.

Hidup memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan manakala keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan menentukan kebahagiaan – kebahagiaan dunia dan akhirat. Namun apabila di mercu kejayaan kelak jangan dilupa orang yang telah berjasa kepada kita dan menginfaqkan harta dan usaha bagi membantu yang masih belum berjaya.

Jangan dilupai guru-guru yang menabur ilmu serta ibu bapa yang memerah kudrat membesarkan kalian. Jangan ikuti helah si Tanggang yang lupa daratan setelah berjaya dalam kehidupannya.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia