'Ajar pengundi pangkah logo PH'- Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor akan menggerakkan jentera untuk mengajar ahlinya terutama golongan warga emas memangkah logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemungkinan kekeliruan akan berlaku memandangkan logo Barisan Nasional (BN) yang secara tradisi tercetak atas kertas undi setiap kali pilihan raya, tidak terdapat pada PRK kali ini.

"Sebelum ini agak mudah, sebab ada lambang dacing BN, tetapi di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, tiada lambang dacing.

"Oleh itu, UMNO Johor perlu memberi pemahaman kepada ahlinya terutama golongan warga emas menerusi jentera Jalinan Rakyat khususnya Wanita UMNO.

"Jentera perlu menjelaskan UMNO dan BN kini bersama Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, mereka perlu memangkah di logo PH," katanya ketika ditemui selepas ziarah kasih di sekitar Perling pada Jumaat.

Timbalan Menteri Kewangan I itu turut menggesa agar kempen media sosial diperhebat oleh calon pada minggu kedua kempen PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Ahmad (kiri) sewaktu mengadakan ziarah kasih di sekitar Perling pada Jumaat.
Ahmad (kiri) sewaktu mengadakan ziarah kasih di sekitar Perling pada Jumaat.

"Kempan rumah ke rumah penting untuk temui sebarapa ramai pengundi. Namun media sosial juga penting kerana lebih ramai pengundi dapat ditemui lebih-lebih lagi anak muda yang tidak lekang daripada aplikasi media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya menggesa semua jentera menggiatkan kempen melalui media sosial untuk menjelaskan pelbagai perkara tentang Kerajaan Perpaduan yang membentuk kestabilan negara,"ujarnya.

Sebelum itu, Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir dilaporkan berkata, BN perlu bekerja keras untuk mengajar ahli UMNO memangkah logo PH kerana wujud ahli parti tradisi itu yang selama ini hanya mengundi logo BN.

Jelasnya, walaupun setia dengan UMNO dan BN, namun pengundi boleh keliru dengan mengundi Perikatan Nasional (PN), tidak mengundi atau membuat undi rosak kerana tidak ada lambang dacing yang dicari.