Ahli UMNO, orang Melayu tak perlu fobia dengan DAP - Ahmad Maslan

Ahmad (empat dari kiri) bersama Mohamad (empat dari kanan), calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman (tengah) ketika Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh pada malam Isnin. - Foto Bernama
Ahmad (empat dari kiri) bersama Mohamad (empat dari kanan), calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman (tengah) ketika Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh pada malam Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Ahli UMNO termasuk orang Melayu secara keseluruhannya tidak perlu lagi fobia dengan DAP yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu, ini kerana DAP sudah menyatakan deklarasi untuk menyokong empat perkara utama dalam Perlembagaan Negara.

"Kerja-kerja memberikan penerangan kepada pengundi khususnya warga emas sedang giat dilaksanakan oleh jentera parti Barisan Nasional (BN).

"Semua tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO telah memainkan peranan dengan baik bagi memastikan sokongan semua peringkat umur ahli parti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh di sini pada malam Isnin.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Ahmad berkata, jentera muda Kerajaan Perpaduan perlu terus meningkatkan lagi kerja-kerja menarik golongan seusia mereka melalui media sosial menerusi pelbagai platform yang ada.

"Ini kerana golongan muda lebih terarah kepada penggunaan media sosial dan oleh yang demikian, cara ini dilihat lebih berkesan untuk menarik minat mereka.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya harapkan adalah semua pengundi perlu berfikiran bijak kerana apa yang kita pilih ini adalah untuk tempoh lima tahun bukan lima hari dan kita akan berhadapan dengannya dalam tempoh panjang sekiranya tersilap pilih," katanya.

Katanya, semua pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram perlu memastikan kedua-dua kawasan itu terus kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika tersilap pilih katanya, akan menjadikan Pulai dan Simpang Jeram di bawah pentadbiran pembangkang yang secara tidak langsung menyukarkan pengurusan untuk tempoh lima tahun.

"Berada di bawah pentadbiran wakil rakyat daripada kerajaan yang secara tidak langsung memudahkan urusan mendapatkan bantuan daripada kementerian dan secara tidak langsung menyelesaikan dengan mudah setiap masalah dihadapi," katanya.