Azizulhasni raih perak acara keirin Piala Dunia UCI
PELUMBA elit negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat perak acara keirin lelaki pada siri keempat Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Lee Valley Velopark, Stratford, London, pada Sabtu.
Pingat emas dan gangsa acara itu masing-masing dimenangi pelumba Belanda, Matthijs Buchli serta Theo Bos.
"Mengambil semangat daripada pasukan Harimau Malaya (bola sepak negara) yang beraksi di AFF Suzuki Cup, saya telah berjaya mendapat pingat Perak dalam acara Keirin di Kejohanan UCI Track Cycling World Cup London 2018 di mana kejohanan ini disertai sebanyak 47 negara.
"Saya gembira kerana pencapaian ini adalah satu peningkatan selepas mendapat pingat gangsa di siri World Cup yang lepas di Berlin,Jerman. Sesungguhnya ini adalah indikasi yang saya berada di landasan yang betul dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," pelumba berusia 30 tahun itu dipetik sebagai berkata dalam laman Facebook miliknya.
Terdahulu, dalam saringan pusingan pertama, pelumba kelahiran Kuala Dungun, Terengganu itu sekadar menduduki tempat ketujuh dan memaksa beliau melalui pusingan "repechage" untuk meraih tempat di separuh akhir.
Beliau kemudian berjaya meraih tempat ke saingan akhir selepas memenangi saringan kedua peringkat separuh akhir. - Bernama