Sambutan Hari Kebangsaan di tiga lokasi utama berjalan lancar - Polis

Allaudeen
Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau tiga lokasi utama yang menjadi tumpuan orang ramai semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di ibu kota dan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, selain sebanyak 22 jalan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, dua lokasi lain diberi tumpuan adalah di Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Bukit Bintang, dekat sini.

Beliau berkata, sempena Ambang Merdeka di ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya malam Rabu, jumlah penugasan anggota dan pegawai PDRM sebanyak 1,200 orang.

Kata beliau, jumlah orang ramai yang hadir di Dataran Merdeka adalah sekitar 25,000 orang, KLCC (20,000 orang) serta di Bukit Bintang (2,000 orang).

"Sempena sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi ini (Khamis), sambutan berjalan lancar dan berakhir lebih kurang sekitar 10.30 pagi.

"Jumlah penugasan anggota serta pegawai PDRM di Putrajaya pada Khamis adalah 1,400 orang, manakala kehadiran orang ramai adalah lebih dari 100,000 orang," katanya pada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, sambutan dan penganjuran program sepanjang Hari Kebangsaan kali ini berjalan lancar.

Katanya, tiada perkara tidak diingini berlaku dan menjejaskan sambutan hari bersejarah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kelancaran lalu lintas juga berada dalam keadaan terkawal apabila perkhidmatan pengangkutan percuma disediakan oleh Perbadanan Putrajaya di Terminal Putrajaya Sentral dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.

Selain itu katanya, orang ramai juga menggunakan pengangkutan awam bas, Express Rail Link (ERL) serta Mass Rapid Transit (MRT) ke destinasi bagi mengelakkan kesesakan.

Tiada penggunaan dron tanpa kelulusan dibenarkan pada hari sambutan, selain tidak membawa apa-apa kain rentang, plakad atau banner yang berunsur sensitif sepanjang raptai, ambang merdeka serta hari sambutan.