Lebih 100,000 meriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2023 - Fahmi

Persembahan dari Sarjan Saidatul Husna Kamarudin merentasi 66 motosikal Royal Enfield di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada sambutan Hari Kebangsaan 2023. - Foto Bernama.
Persembahan dari Sarjan Saidatul Husna Kamarudin merentasi 66 motosikal Royal Enfield di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada sambutan Hari Kebangsaan 2023. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 anjuran sulung Kerajaan Perpaduan di Dataran Putrajaya di sini pada Khamis.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, segelintir orang awam juga telah mula berkumpul selepas waktu Maghrib semalam kerana teruja untuk melihat sendiri acara gilang-gemilang itu.

"Ada yang datang dari Kedah, Perak dan jauh lagi untuk melihat sendiri sambutan besar-besaran ini. Ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan pertama kami dengan pasukan yang bertungkus-lumus sejak bulan Februari,” katanya pada sidang media selepas sambutan itu di Pusat Media di sini pada Khamis.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 menzahirkan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran sambutan kemerdekaan negara tahun ini khususnya kelancaran persembahan tarian, perarakan, perbarisan dan pertunjukan udara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbangkan tenaga dan idea dalam menjayakan perarakan sambutan bersejarah berkenaan.

Fahmi juga menyifatkan keperibadian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyantuni rakyat sejurus acara sambutan selesai sebagai kenangan paling indah buat dirinya serta pengunjung yang hadir.

"Saya bersama pihak urusetia menjunjung kasih ke atas Seri Paduka Baginda berdua kerana mencemar duli bertemu rakyat selepas acara sambutan walaupun tiada dalam senarai (atur cara),” kata beliau.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam aksi spontan, luar daripada kebiasaan dan protokol, meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra, bersalaman serta mengambil swafoto dengan peserta perarakan dan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fahmi mengajak seluruh rakyat Malaysia agar terus mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Kuching, Sarawak.

Bertemakan "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, sambutan melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terdiri daripada Kontinjen Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara. - Bernama.