ASIA Records tembusi Rusia, Singapura dalam tempoh dua minggu

Gillian (dua dari kiri) semasa ASIA Records secara rasmi dilancarkan di Persekutuan Rusia pada 31 Oktober di Forum Antarabangsa Minggu Digital Kazan 2026.
Gillian (dua dari kiri) semasa ASIA Records secara rasmi dilancarkan di Persekutuan Rusia pada 31 Oktober di Forum Antarabangsa Minggu Digital Kazan 2026.
A
A
A

KUALA LUMPUR – ASIA Records memperluaskan operasinya ke peringkat antarabangsa apabila dilancarkan secara rasmi di Rusia dan Singapura dalam tempoh 12 hari, sekali gus membawa platform pengesahan rekod berkenaan ke luar Malaysia.

ASIA Records dilancarkan di Kazan, Rusia pada 31 Oktober lalu sempena Kazan Digital Week 2026, sebelum ASEAN Records dan ASIA Records dilancarkan secara rasmi di Singapura pada 11 November lalu sempena Digital Economy Summit Asia (DESA) 2026.

Pelancaran di Rusia berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Kazan Expo, Kazan, Republik Tatarstan, yang menjadi lokasi penganjuran forum teknologi digital antarabangsa itu dari 29 hingga 31 Oktober.

ASIA Records dalam kenyataan memaklumkan, Pengasas, Pengarah dan Ketua Adjudikator ASEAN Records dan ASIA Records, Gillian Ooi menyampaikan plak peringatan sempena pelancaran berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendigitalan Pentadbiran Awam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Republik Tatarstan, Bulat Gabdrakhmanov serta Presiden Akademi Sains Tatarstan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum, Rifkat Minnikhanov.

Forum berkenaan mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Digital, Komunikasi dan Media Massa Persekutuan Rusia serta Kabinet Menteri Republik Tatarstan, selain menghimpunkan peserta dari lebih 70 negara secara fizikal dan dalam talian.

Sementara itu, pelancaran di Singapura berlangsung di Wyndham Singapore Hotel sempena DESA 2026 yang dianjurkan bersama Singapore Digital Chamber of Commerce (SGDCC) dan Aventis Graduate School.

Majlis itu disempurnakan Gillian dan Pengasas, Pengarah serta Ketua Adjudikator ASEAN Records dan ASIA Records, Eldrick Koh bersama Presiden SGDCC, Dr Roger Wong.

Mereka turut merasmikan plak ASEAN Records dan ASIA Records, manakala SGDCC diperkenalkan sebagai Rakan Kongsi Bersekutu kedua-dua organisasi itu di Singapura.

Artikel Berkaitan:

Pelancaran berkenaan turut menyaksikan pengumuman bahawa ASIA RECORDS®️ kini menjadi cap dagangan berdaftar di Singapura menerusi No. Cap Dagangan 40202530460P, Kelas 41, berkuat kuasa mulai 26 November 2025.

Gillian berkata, pelancaran di Rusia dan Singapura dalam tempoh dua minggu menunjukkan penerimaan terhadap piawaian rekod yang disahkan.

"Pelancaran di Rusia dan Singapura dalam tempoh dua minggu menunjukkan sejauh mana piawaian rekod yang disahkan boleh diterima.

"Pendaftaran ASIA Records di Singapura melindungi piawaian tersebut. Apabila anda melihat ASIA Records, anda tahu rekod itu telah dikaji, disemak dan disahkan," katanya.

Eldrick pula berkata, rekod bukan sesuatu yang boleh dibeli, sebaliknya perlu dibuktikan.

"Rekod bukan sesuatu yang boleh dibeli. Ia sesuatu yang perlu dibuktikan.

"Dengan cap dagangan berdaftar dan Rakan Kongsi Bersekutu di Singapura, kami kini mempunyai asas yang kukuh untuk mengiktiraf pencapaian di seluruh Asia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua pelancaran turut diserikan dengan pengiktirafan rekod kepada Kazan Digital Week sebagai Forum Teknologi Digital Hibrid Secara Fizikal dan Dalam Talian Terbesar di Persekutuan Rusia.

SGDCC pula disenaraikan dalam ASIA Records dan ASEAN Records sebagai Dewan Perniagaan Digital Pertama yang Distrukturkan Berdasarkan Lima Tonggak Teknologi Rasmi dan Menganjurkan Sidang Kemuncak Ekonomi Digital.

ASEAN Records dilancarkan pada November 2024 dan diberikan kebenaran rasmi oleh Sekretariat ASEAN untuk menggunakan nama ASEAN, manakala ASIA Records dilancarkan pada Oktober 2025.

Setakat ini, kedua-dua organisasi berkenaan telah memperakui lebih 530 rekod.

Sistem pengurusan kualiti kedua-dua syarikat itu turut diperakui ISO 9001:2015 oleh SGS.

ASEAN Records Sdn Bhd dan ASIA Records Sdn Bhd ialah syarikat pengesahan rekod bebas diasaskan dan dipimpin Gillian serta Eldrick.

Kedua-duanya menjalankan penilaian, pengesahan dan perakuan pencapaian perniagaan, organisasi serta individu di seluruh Asia Tenggara dan Asia.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!