'Mengapa pilih Achi Jaya?' MACVA desak LTAT beri penjelasan

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung pemilihan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd untuk mengambil alih kepentingan Boustead Plantations Bhd (BPlant), khususnya apabila terdapat syarikat lain yang mempunyai operasi perladangan lebih besar.
Setiausaha Kehormat Persatuan Veteran Kaum Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA), Tony Ho Weng Kong berkata, keputusan itu perlu diteliti bagi memastikan ia tidak menimbulkan masalah kepada pemegang saham pada masa depan.
Beliau kurang bersetuju dengan pemilihan syarikat berkenaan selagi tiada penjelasan jelas mengenai asas pertimbangan LTAT memilih Achi Jaya berbanding syarikat lain.
"Kalau boleh, perkara ini perlu diberikan penjelasan. Mengapa pilih Achi Jaya sedangkan ada syarikat lain yang lebih baik?
"Perkara ini perlu diteliti supaya tidak membawa masalah kepada pemegang saham pada masa depan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan LTAT memilih Achi Jaya Plantations Sdn Bhd untuk ambil alih BPlant pada nilai anggaran hampir RM4 bilion.
Bagaimanapun, pemilihan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd menerusi transaksi bernilai hampir RM4 bilion menimbulkan persoalan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai asas penilaian dan kemampuan kewangannya.
Beliau turut mempersoalkan keputusan melepaskan kepentingan perladangan BPlant sedangkan sektor berkenaan merupakan antara perniagaan utama syarikat itu.
Tony berkata, LTAT juga perlu menjelaskan rasional di sebalik keputusan berkenaan, termasuk sebab kepentingan perladangan itu diserahkan kepada Achi Jaya.
Beliau berpandangan, maklumat lebih menyeluruh perlu diberikan kepada pihak berkepentingan sebelum keputusan itu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kesan negatif pada akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

