Hari Kebangsaan: Sanggup tidur di Dataran Putrajaya

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Shazwan Samsuri, 22, (atas, dua dari kiri) yang menyambut acara itu bersama rakan-rakannya pada setiap tahun dan tiba seawal jam 4.30 pagi di Dataran Putrajaya.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Shazwan Samsuri, 22, (atas, dua dari kiri) yang menyambut acara itu bersama rakan-rakannya pada setiap tahun dan tiba seawal jam 4.30 pagi di Dataran Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan 2023 kali ini meriah dengan kehadiran pengunjung yang sudah ‘berkampung’ di pekarangan Dataran Putrajaya sejak malam tadi.

Pelajar, Razin Mas Sazali, 21, berkata, dia dan rakan-rakan tiba di dataran berkenaan pada jam 10 malam serta hanya tidur di pekarangan kali lima semata-mata tidak ingin terlepas peluang menyaksikan perjalanan perarakan bagi meraikan hari penting bagi rakyat Malaysia itu.

“Kami datang daripada Nilai, Negeri Sembilan dan gerak awal ke sini (Dataran Putrajaya) sekitar jam 10 malam tadi, berehat dan tidur di kali lima bangunan kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2023, di sini pada Khamis.

Surirumah, Izuryn Ismail, 29, bersama adiknya, Madihah Ismail, 19, tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman menyambut hari sambutan dengan hadir seawal jam 3.30 pagi dari Melaka.

Tambahnya, dia dan adiknya mengambil keputusan untuk memakai baju kurung Kedah serta kain batik sebagai tanda meraikan perjuangan wanita zaman dahulu.

Selain itu, pelajar Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, Min Ying, 23 bersama rakan-rakan tiba di dataran itu pada jam 5 pagi bagi memeriahkan acara turut meraikan sambutan tersebut sejak awal pagi jam 5 pagi.

Dia turut berkata, sambutan pada kali ini lebih meriah dan keputusan untuk memakai pakaian tradisional baju kurung bersama rakan-rakannya itu adalah keputusan terbaik walaupun berbeza tradisi dan budaya.

“Kami pelajar MMU Cyberjaya, saya dan rakan-rakan yang lain sepakat memakai baju kurung semata-mata ingin menyambut Hari Kebangsaan ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Shazwan Samsuri, 22, berkata, dia dan rakan-rakan tiba seawal jam 4.30 pagi dan mengakui teruja dengan sambutan yang diadakan pada tahun ini.

Menurutnya, sambutan kali ini sangat meriah dan kawasan dataran itu lebih luas berbanding lokasi sebelumnya.

"Kami datang awal jam 4.30 pagi tadi dengan menaiki tiga buah kereta.

"Ramai sangat orang yang hadir dengan sorakan tidak henti-henti menyokong persembahan, perarakan masuk serta perbarisan daripada unit-unit beruniform," jelasnya lagi.