Lebih 10,000 pengunjung meriahkan sambutan Merdeka di Terengganu

Pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2023 di Dataran Shahbandar, di sini pada Khamis.
Pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2023 di Dataran Shahbandar, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2023 di Dataran Shahbandar, di sini pada Khamis.

Mereka mula berkumpul seawal jam 7 pagi di sepanjang laluan lebih 4 kilometer bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.

Masing-masing hadir dengan membawa Jalur Gemilang untuk menyaksikan Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Perarakan berkenaan kira-kira jam 9.50 pagi.

Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Terengganu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menyempurnakan acara penyerahan Jalur Gemilang dan laungan beramai-ramai 'merdeka' sebanyak tiga kali di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu pada jam 7.45 pagi sebelum menuju ke Dataran Shahbandar.

Artikel Berkaitan:

Pasukan keselamatan turut menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan.
Pasukan keselamatan turut menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan.

Sambutan kemerdekaan kali ini membabitkan perarakan 109 kontinjen melibatkan 3,949 peserta.

Perarakan tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pasukan badan beruniform, badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Terengganu, kumpulan pancaragam sekolah selain perarakan kenderaan.

Acara juga dimeriahkan dengan perarakan membawa beca yang dihiasi dengan hiasan menarik dan Jalur Gemilang sebagai tanda menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah tersebut.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di sini turut dihidangkan dengan aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Segmen pertunjukan udara TUDM itu dibarisi pesawat pejuang iaitu sukhoi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!