Sambutan Hari Kebangsaan: Penyatuan rakyat Pahang luar biasa

Persatuan Kadet Tentera Darat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh sertai perarakan itu.
Persatuan Kadet Tentera Darat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh sertai perarakan itu.
A
A
A

KUANTAN - Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 kembali mewarnai keceriaan dan kibaran Jalur Gemilang apabila ribuan rakyat di Pahang membanjiri Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4 di sini, pada Khamis.

Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum mula berhimpun seawal jam 7 pagi, bagi menunjukkan semangat kebersatuan dalam menghayati acara tahunan itu.

Mereka juga dilihat membawa jalur gemilang, selain laungan 'merdeka' daripada pengunjung di sekitar kawasan sebelum persembahan dan perbarisan bermula.

Kehadiran mereka bagi menunjukkan semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing sekali gus mengimbas kembali detik sejarah kemerdekaan negara.

Sambutan tahun ini, menyaksikan pembabitan lebih 4,489 peserta dari 106 kontinjen dengan 72 kontinjen berjalan kaki dan 34 kontinjen berkenderaan menggunakan 809 kenderaan semasa perarakan, termasuk aset-aset Tentera Darat, Laut serta Udara.

Kenderaan perisai milik Tentera Darat turut terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaaan ke-66 di Padang MBK 4 di sini pada Khamis.
Kenderaan perisai milik Tentera Darat turut terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaaan ke-66 di Padang MBK 4 di sini pada Khamis.

Acara bermula dengan ketibaan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Datuk Burhah Mohammed seawal jam 8.30 pagi.

Turut Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan bacaan ikrar rukun negara dan luang merdeka sebanyak tujuh kali diketuai Naib Johan Pertandingan Hafazan Peringkat Antarabangsa, Muhammad Thariq Suhaimi Al-Hafiz.

Selain itu, medley koir lagu tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang didendangkan oleh 66 penjawat awam daripada pelbagai agensi.

Turut menarik perhatian adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Antara yang mencuri tumpuan termasuklah beberapa aset Tentera Darat Malaysia seperti kenderaan berperisai.

Acara dinanti-nantikan hadirin pastinya aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Segmen pertunjukan udara TUDM itu dibarisi tujuh pesawat pejuang iaitu tiga Sukhoi Su-30MKM dan empat BAE Hawk.