Orang muda harus bangkit ambil alih urusan majukan negara - Hussamuddin

Hussamuddin ketika menghadiri Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Rabu.
Hussamuddin ketika menghadiri Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia #QuranHour edisi kesembilan membawa kelainan apabila membawa lebih ramai golongan muda menyertainya termasuk qari dan pentadabbur supaya golongan itu bersedia memikul tanggungjawab untuk masa depan negara yang lebih baik, kata Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.

"Ia bersesuaian dengan tema kali ini dan mesej yang kita nak sampaikan adalah, orang muda harus bangkit mengambil alih urusan untuk memajukan negara.

"Dalam suasana sekarang, kita harap golongan ini menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

"Sebab itu, kita libatkan sama tokoh-tokoh muda daripada semua parti politik hadir baik kerajaan mahupun pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malaysia #QuranHour yang bertemakan 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar' sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Husammuddin memberitahu, penyiaran secara langsung program Malaysia #QuranHour melalui empat stesen televisyen tempatan kali ini adalah satu kejayaan besar bagi program itu.

Menurutnya, bukan mudah bagi program sebegitu mendapat tempat dan disiarkan serentak di televisyen.

Justeru, beliau menzahirkan penghargaan di atas komitmen RTM selaku penyiar rasmi dan rakan sinergi media, TV9, TV AlHijrah dan Astro Oasis.

Artikel Berkaitan:

"Semasa kita mulakan program ini, ia hanya dibuat di lokasi perdana dan sekarang ia dibuat di mana-mana sahaja termasuk masjid dan sekolah dan menjadi sebahagian daripada budaya kita.

"Indonesia #QuranHour juga dibuat mengikut model kita, saya kira ini satu kejayaan.

"Sempena hari kemerdekaan negara, saya kira menyambutnya dengan al-Quran bersama-sama dapat membantu untuk kita bersatu dan memajukan negara dengan asas yang jelas, iaitu berpandukan agama," katanya kepada Sinar Harian.