PRK: Bertemu empat mata lebih berkesan berbanding ceramah mega - Suhaizan

Suhaizan
Suhaizan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bertemu pengundi secara empat mata dari rumah ke rumah merupakan pendekatan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat semasa berkempen pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu berpendapat, sentuhan tersebut lebih dirasai pengundi berbanding kempen secara tradisional dengan melakukan ceramah.

"Sebelum ini pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kempen dijalankan lebih berskala besar dengan ceramah mega diadakan hampir saban hari.

"Namun pada PRK Parlimen Pulai ini pendekatan dan kaedah kempen diubah kepada perjumpaan terus kepada pengundi dalam skala lebih kecil dan bersifat mesra.

"Perubahan rentak kempen ini dibuat selepas mendapati kaedah ceramah mega tidak lagi berkesan kerana pengundi tidak gemar hadir dan mahu mengenali pengundi secara bersemuka berbanding mendengar ceramah," katanya.

Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Pulai berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penghasilan Baja Bokashi Bersama Penduduk Kampung Pasir, Tampoi di sini pada Rabu.

Turut hadir Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja DAP Pulau Pinang.

Menurut Suhaizan, kaedah bertemu pengundi dalam komuniti kecil selain kempen dari rumah ke rumah lebih digemari pengundi Melayu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi cara tersebut katanya, bukan sahaja dapat mengemukakan pandangan mereka selain lebih mudah menyatakan apa juga masalah dihadapi.

Beliau mengakui pendekatan itu menyebabkan suasana kempen PRK Parlimen Pulai lesu dan kurang hangat yang turut digunakan parti politik lain.

Sementara itu, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, penyokong parti politik juga disarankan untuk bersederhana dalam berkempen susulan sambutan Hari Kebangsaan negara pada Khamis.

Ujar Suhaizan, sambutan kemerdekaan negara adalah lebih besar dan semangat perpaduan serta keharmonian harus terus dijaga walaupun ketika berkempen.

"Pendekatan yang PH-BN gunakan adalah untuk sentiasa bersederhana dalam berkempen iaitu kita tidak mahu bersikap ekstrem walaupun berbeza fahaman politik bagi menggelakkan perpecahan masyarakat berlaku lebih-lebih lagi dalam suasana kemerdekaan negara ketika ini.

"Ini kerana saya dapati, pengundi Parlimen Pulai sendiri menghadiri pelbagai program dan aktiviti politik yang dianjurkan kedua-dua parti bertanding, sekejap mereka datang program PH kemudian mereka datang program Perikatan Nasional (PN) pula untuk membuat penilaian," katanya.