Suhaizan cadang laluan khas pengundi kerja, tinggal di Singapura

Suhaizan (dua dari kiri) beramah mesra bersama para peniaga ketika berkempen bagi PRK Parlimen Pulai di Pasar Malam Taman Tan Sri Yaacob hari ini. - Foto Bernama
Suhaizan (dua dari kiri) beramah mesra bersama para peniaga ketika berkempen bagi PRK Parlimen Pulai di Pasar Malam Taman Tan Sri Yaacob hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu laluan khas di pintu masuk negara di Johor untuk pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang bekerja atau tinggal di Singapura balik mengundi 9 September ini.

Suhaizan berkata, cadangan menyediakan laluan khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) itu telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Itu (cadangan laluan khas) memang ada dalam cadangan kita kepada pihak kerajaan Persekutuan dan kita akan buat susulan.

"Dalam masa sama kita akan terus dekati pengundi yang bekerja atau menetap di seberang tambak (Singapura) menerusi hebahan di media sosial,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra di pasar malam di Taman Tan Sri Yaakob, Perling di sini hari ini.

Beliau berkata, menjelang hari mengundi, kaedah berkempen terus dipelbagaikan termasuk ceramah mega yang akan dihadiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk khususnya memikat pengundi atas pagar.

Selain itu, Suhaizan berkata, setakat hari ke empat kempen PRK itu, gerak gempur kempen beliau dan jentera telah meliputi kira-kira 15 hingga 20 peratus kawasan pengundi di Parlimen berkenaan.

Pada PRK Parlimen Pulai, beliau berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN, Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian 9 September.