Wanita hidap strok tangguh pembedahan hantar anak sambung belajar

Naimah (berkerusi roda) sewaktu menghantar anaknya, Ahmad Farhan Asyraf (tiga dari kiri) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun pada Selasa.
Naimah (berkerusi roda) sewaktu menghantar anaknya, Ahmad Farhan Asyraf (tiga dari kiri) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun pada Selasa.
A
A
A

DUNGUN - Seorang wanita yang menghidap penyakit angin ahmar sanggup menangguhkan pembedahan semata-mata mahu menghantar anaknya menyambung pengajian di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini pada Selasa.

Naimah Ali, 39, sepatutnya menerima rawatan untuk pembedahan akibat pendarahan pada bahagian otak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari yang sama.

Namun ibu kepada lima anak itu menangguhkan prosedur tersebut kerana mahu menemani anak keduanya, Ahmad Farhan Asyraf Yusri, 18, mendaftar masuk ke pusat pengajian berkenaan.

"Saya alami strok sejak awal Februari tahun ini dan kini sudah tak mampu berjalan serta bergerak seperti biasa. Saya terpaksa bergantung dengan kerusi roda.

"Kebetulan tarikh pembedahan jatuh pada hari sama dengan tarikh anak saya masuk ke politeknik, sebab itu saya mohon tangguh kerana saya sebolehnya mahu bersama-sama hantar dia pada hari ini," katanya ketika ditemui di PSMZA di sini.

Naimah yang tinggal di Perumahan Desa Sepakat, Kampung Kepong, di Kuala Terengganu hadir bersama suami, Yusri Abdul Rahman, 51, serta ahli keluarga lain.

Kehadiran Naimah turut disambut Pengarah PSMZA, Zamra Derahman yang berharap agar Ahmad Farhan Asyraf menumpukan perhatian bersungguh-sungguh dalam pelajaran bagi meraih kejayaan cemerlang.

Ahmad Farhan Asyraf merupakan pelajar baharu bagi Sesi Akademik 1 2023/2024 dengan mengambil kursus Diploma Kejuruteraan Awam.

Artikel Berkaitan:

Seramai 448 pelajar baharu terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah mendaftar masuk ke institusi pengajian itu pada Selasa.

Pendaftaran pelajar baharu juga masih dibuka sehingga 18 September depan dengan sasaran peningkatan bagi enrolmen pelajar dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mendokong aspirasi negara.