Sambutan Hari Kebangsaan 2023

Aksi payung terjun VAT69 bakal curi tumpuan

A
A
A

Antara perserta perarakan melakukan raptai mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada Khamis ini.
Antara perserta perarakan melakukan raptai mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada Khamis ini.



PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok bakal menyaksikan rakyat Malaysia digegarkan dengan persembahan 400 buah gendang bersama tarian daripada 800 orang artis tari daripada pelbagai kaum.

Berkonsepkan perpaduan dan kepelbagaian budaya Malaysia, acara di bawah Program Gegar MADANI itu dijangka akan berlangsung dengan penuh warna-warni yang mana ia akan diserikan lagi dengan persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air antaranya Suki Low, Zizi Kirana, Nadeera Zaini, Hazraniza Dollah dan Roshini Balachandran.

Dijangkakan sambutan tersebut akan dibanjiri 100,000 rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara itu.

No Image Caption



Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ itu akan diserikan dengan perbarisan yang disertai lebih 17,000 peserta dan 67 kontinjen daripada pelbagai kementerian serta agensi-agensi kerajaan.

Malah, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan secara dekat pertunjukan payung terjun daripada enam anggota Pasukan 69 Komando (VAT69), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mendarat tepat di Dataran Putrajaya.

Aksi pertunjukan yang mendebarkan itu akan menyaksikan anggota VAT69 melakukan penerjunan dari aras ketinggian 4,000 kaki (1,219 meter) dari pesawat Agusta AW139 milik Pasukan Gerakan Udara PDRM yang diterbangkan oleh Superintenden Mohd Fairuz Jamil serta dibantu Asisten Superintenden Muhammad Amir Isa.

Aksi mendebarkan daripada seorang anggota VAT69, PDRM yang cuba mendarat selepas melakukan penerjunan dari ketinggian 4,000 kaki.
Aksi mendebarkan daripada seorang anggota VAT69, PDRM yang cuba mendarat selepas melakukan penerjunan dari ketinggian 4,000 kaki.

Artikel Berkaitan:


Malah, anggota VAT69 yang terlibat dalam penerjunan tersebut akan turut mengibarkan bendera Jalur Gemilang bersama-sama bendera ‘sang saka biru’ PDRM, VAT69 dan logo Malaysia MADANI.

Pada masa sama, rakyat Malaysia yang hadir turut dapat menyaksikan persembahan lagak ngeri daripada pasukan Army Red Warrior dari Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melakukan aksi akrobatik sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Malah, pertunjukan udara membabitkan gabungan formasi 25 helikopter juga bakal dipertontonkan sekali gus menunjukkan kemahiran serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara.

Anggota VAT69, PDRM melakukan aksi penerjunan sambil mengibarkan Jalur Gemilang semasa sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya pada Khamis ini.
Anggota VAT69, PDRM melakukan aksi penerjunan sambil mengibarkan Jalur Gemilang semasa sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya pada Khamis ini.



Kira-kira 50 aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan terlibat dalam pertunjukan udara antaranya jet pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, BAE Hawk serta pesawat pengangkut A400M, Hercules C-130 dan helikopter daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan TDM.

Selain itu, terdapat aset udara daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut terlibat dalam pertunjukan sempena sambutan kali ini.