Dera: Reman ibu, teman lelaki disambung

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SERDANG - Reman ke atas seorang wanita bersama teman lelakinya kerana disyaki mendera kanak-kanak berusia lima tahun sehingga meninggal dunia dilanjutkan tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, wanita berusia 44 tahun yang merupakan ibu mangsa bersama teman lelaki berusia 29 tahun sebelum ini ditangkap dan ditahan reman sehingga Selasa.

Beliau berkata, pihak polis mendapat kebenaran menyambung reman kedua-dua suspek selama tujuh hari bermula 30 Ogos.

"Kedua-dua suspek disambung reman sehingga 5 September ini bagi membantu siasatan.

"Pihak polis akan memaklumkan sekiranya mereka akan dituduh di mahkamah sekiranya mendapat arahan pertuduhan kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di kediaman mereka di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, dekat sini.

Soal siasat terhadap ibu mangsa berusia 44 tahun mendapati satu laporan polis palsu telah dibuat oleh teman lelaki ibunya berusia 29 tahun yang mendakwa telah terlanggar mangsa dengan lori bagi mengelak perbuatan mereka diketahui.

Artikel Berkaitan: