Teman lelaki ibu disyaki dera bayi sampai mati

HSJ menyalurkan maklumat mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun itu kepada anggota yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Seberang Jaya pada Sabtu. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Tan Cheng San)
HSJ menyalurkan maklumat mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun itu kepada anggota yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Seberang Jaya pada Sabtu. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Tan Cheng San)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu berusia 16 tahun ditahan bersama lapan individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan terhadap seorang bayi lelaki berusia setahun sehingga meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 48 tahun.

Menurutnya, semua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Perai pada Ahad.

"Selain ibu muda itu, ada seorang lagi rakan perempuannya yang juga berusia 16 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Kedua-duanya sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan.

"Daripada sembilan suspek, salah seorang adalah teman lelaki ibu muda berkenaan dan dia merupakan suspek utama berusia 34 tahun. Suspek yang tidak bekerja ini percayai menjaga mangsa ketika ibunya keluar bekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pada 26 Ogos lalu, jam 7 malam, anggota yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Seberang Jaya telah menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ) berhubung seorang pesakit iaitu kanak-kanak lelaki berusia setahun, warga tempatan telah meninggal dunia.

"Hasil siasatan yang dijalankan, mangsa dibawa ke HSJ oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mengatakan mangsa pengsan dan memerlukan rawatan.

"Suspek kemudiannya beredar dan meninggalkan mangsa di hospital. Hasil siasatan, kita berjaya menahan suspek utama dan lapan yang lain pada Ahad," katanya.

Cheng San berkata, ibu kepada ibu muda berkenaan sudah lama mengenali suspek utama dan mengetahui mangsa dijaga olehnya ketika ibu mangsa keluar bekerja.

"Suspek utama mempunyai enam rekod lampau iaitu empat melibatkan dadah dan dua jenayah. Dia direman tujuh hari bermula Isnin manakala yang lain direman tiga hari sehingga 30 Ogos.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.