Pekerja kontrak dijel, mengaku ugut, cederakan ibu

Kumaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut dan mencederakan ibu kandungnya di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
Kumaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut dan mencederakan ibu kandungnya di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja kontrak mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut dan mencederakan ibu kandungnya di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, V Kumaran, 48, didakwa dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah secara lisan dengan mengacukan gunting ke kepada ibu kandungnya, 73.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Kumaran didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Pesara Klebang Jaya 12, Taman Klebang Jaya, Chemor, di sini pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah di hadapan Majistret S Punitha di atas kedua-dua tuduhan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan kedua dengan kesemua hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Hamzah.

Artikel Berkaitan: