Laporan diserahkan ke Bukit Aman

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam melemparkan fitnah kononnya lebih 200 sekolah tahfiz di negeri ini akan ditutup sehingga mengundang keresahan orang ramai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar pihak berkuasa itu mengesan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan yang melemparkan tohmahan tersebut.

Hussein
Hussein

“Polis sedang melakukan siasatan dan tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan tohmahan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Hussein berkata, perbuatan fitnah berkenaan mampu mengganggu gugat kestabilan serta keharmonian antara agama dan kaum di Selangor.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai membuat laporan polis berhubung perkara tersebut bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut, seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pemfitnah terlibat.

“Sehingga hari ini (Selasa), belum ada sebarang laporan polis diterima di Selangor. Bagaimanapun, saya difahamkan ada satu laporan polis diterima di Perak dan siasatan dijalankan di bawah Unit Siasatan Jenayah Terancang (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, laporan dibuat seorang individu politik di Manjung pada 16 Ogos lepas.

“Ya, benar kita terima laporan itu, tetapi di Perak tidak ada sekolah tahfiz yang ditutup,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes berkenaan telah diserahkan kepada Bukit Aman.

Sultan Sharafuddin ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di Shah Alam pada Isnin. - Foto SELANGOR ROYAL OFFICE
Sultan Sharafuddin ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di Shah Alam pada Isnin. - Foto SELANGOR ROYAL OFFICE

Pada Isnin, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa dukacita dengan pihak yang melemparkan fitnah tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Baginda selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian sempena Mesyuarat MKI Kali Ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Titah baginda, golongan itu perlu segera memberhentikan perbuatan khianatnya itu dan sekiranya masih diteruskan, baginda menitahkan pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah tersebut dan mengambil tindakan undang-undang.

“Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar, dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu,” titah baginda.

Titah Sultan Sharafuddin, fitnah sebegini secara tidak langsung merisaukan ibu bapa serta boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini.

Pada mesyuarat itu, baginda turut menyeru mana-mana institusi tahfiz swasta dan persendirian yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya.