Tanggungjawab bersama anggota OIC tangani Islamofobia - TPM

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjadi tanggungjawab bersama negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menentang Islamofobia dengan menggalakkan dialog, meningkatkan kesedaran dan menyebarkan mesej positif Islam kepada dunia.

Beliau berkata, menangani Islamofobia memerlukan penglibatan pelbagai peringkat bersama anggota masyarakat antarabangsa, mekanisme yang ada pada Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta organisasi antarabangsa lain.

"Ajaran Islam yang sebenar dan cara hidup yang dipegang dalam al-Quran dan Hadis perlu ditunjukkan,” katanya pada majlis makan malam bersama 29 ketua misi dan wakil dari negara anggota OIC di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Ahmad Zahid berkata, majlis malam ini menunjukkan nilai dan komitmen OIC untuk bersama menjaga dan melindungi kepentingan dunia Islam dalam semangat mempromosikan keamanan dan keharmonian antarabangsa.

"Sebagai negara anggota OIC, kita perlu secara berterusan mengutuk tindakan biadab Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan di Wilayah Pendudukan Palestin secara keseluruhannya.

"Tindakan keji rejim itu merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berbahaya. Ia juga menimbulkan ancaman besar kepada nilai bersama dan aspirasi untuk keamanan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, anggota OIC perlu secara berterusan melibatkan masyarakat antarabangsa yang lain dan mengesa mereka menjadi perantara yang agresif terhadap kekejaman Israel.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan Israel perlu dipertanggungjawabkan ke atas perlakuan kejam yang dilakukan secara terang-terangan.

"Lima puluh enam tahun telah berlalu sejak aneksasi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, namun perjuangan diteruskan.

"Pelanggaran undang-undang dan kekejaman dilakukan Israel telah mewujudkan ketidakamanan di rantau itu. Pembunuhan yang menyalahi undang-undang, pemindahan secara paksa, penahanan secara salah, sekatan pergerakan dan perluasan penempatan perlu dihentikan," katanya.

Ahmad Zahid berkata salah satu kebimbangan ialah cubaan penjajah Yahudi untuk mencetuskan konflik agama dengan mengenakan temporal dan pembahagian ruangan Masjid Al-Aqsa dan tindakan aparteid seperti itu, menimbulkan ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Beliau berkata, tindakan tentera Israel yang melulu dan menyalahi undang-undang melanggar Perjanjian Status Quo yang dimulakan pada 1757.

"Anggota OIC perlu meningkatkan usaha untuk meminta Israel bertanggungjawab atas tingkah laku kejamnya di wilayah yang diduduki, sebelum keadaan semakin tidak terkawal.

"Adalah penting bahawa kuasa pendudukan mematuhi undang-undang antarabangsa, tanpa ada sebarang pengecualian. Kegagalan berbuat demikian hanya akan memupuk dan mengekalkan budaya ketidakadilan dan bebas daripada hukuman," katanya.

Ahmad Zahid berkata, dalam melindungi Al-Aqsa, negara-negara Islam mesti konsolidasikan pendekatan mereka.

"Kita memerlukan pendekatan yang proaktif dan praktikal. Ia harus merangkumi kepimpinan yang berani, kemahuan politik yang kuat, perpaduan, kekuatan dan nilai yang menunjukkan kepercayaan yang kita kongsi bersama.

"Tindakan baharu ini akan menghantar mesej kuat kepada dunia bahawa kesatuan kita tidak mengenal sempadan dalam menjaga rumah Allah ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata sebagai sebuah negara, Malaysia akan terus berdiri teguh dalam keazamannya untuk menangani isu Islamofobia.

"Komitmen Malaysia terhadap agenda OIC, khususnya mengenai Al-Aqsa, tidak berbelah bahagi dan tegas," katanya.- Bernama