Baby Syifaa mungkin dibunuh kerana meragam - Bapa


Keluarga kepada Baby Syifaa membawa patung bayi yang digunakan dalam inkues.
Keluarga kepada Baby Syifaa membawa patung bayi yang digunakan dalam inkues.
A
A
A

SEREMBAN - Bapa kepada Baby Syifaa, iaitu Yuseri Yussof, 40, memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Selasa yang kemungkinan anaknya mati dibunuh disebabkan bayi berkenaan meragam.

Bagaimanapun saksi ke-25 itu menjelaskan bukan beliau yang mula menimbulkan perkataan bunuh dalam kematian anaknya, sebaliknya pegawai penyiasat kes terbabit Inspektor M Thinagaran.

"Saya tak pernah sebut anak saya dibunuh, tetapi Thinagaran (pegawai penyiasat) ada hubungi saya minta bertenang dan kita akan mendapat keadilan.

"Dalam perbualan itu dia ada bertanya betul ke pengusaha taska bunuh anak saya? Saya tak pernah sebut (perkataan bunuh)," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan peguam keluarganya, Gaithri Thomas dalam sesi soal balas di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Yuseri turut menegaskan yang beliau juga tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes tersebut yang didapati terdapat banyak kelemahan.

Katanya, ia selepas beliau merujuk kes tersebut kepada bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan.

"Selain itu pakaian mangsa yang dipakai pada hari kejadian yang ditinggalkan dan paling ketara dia mengabaikan kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat satu kuku jari kaki tercabut yang pegawai penyiasat tak pernah beri penerangan dan garisan lurus yang dikatakan kononnya disebabkan jerutan buai. Tapi garisannya terlalu kemas. Kemudian ada di pipi dua tanda kuku dan selain bibir kebiruan," katanya.


Yuseri (kanan) bercakap dengan Hafiz di luar mahkamah .
Yuseri (kanan) bercakap dengan Hafiz di luar mahkamah .

Beliau berkata demikian menjawab soalan peguam utama keluarganya Hafiz Norkhan yang bertanya apa asasnya beliau tidak berpuas hati dengan siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat terbabit.

Kata bapa kepada dua anak itu lagi, kesan jerutan pada leher anaknya itu juga terlalu kemas dan secara logiknya jika bayi terjerut kuat, dia akan meronta.

Tambahnya, beliau juga diberitahu oleh Amidon yang kesan tersebut mungkin perbuatan yang disengajakan dan agak mustahil disebabkan jerutan buaian.

"Berdasarkan pengalamannya (Amidon) polis dah boleh buka Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Atas faktor itu saya telah buat laporan.

"Beliau beritahu potensi (kesan jerutan) itu daripada wayar, kabel atau tali... Tapi lebih kepada kabel kerana ia kemas," katanya.

Hafiz kemudian memohon mahkamah supaya Yuseri membuat demonstrasi bagaimana kefahamannya yang jerutan itu boleh berlaku, namun mahkamah menolak.

Dalam pada itu Yuseri berkata, beliau secara peribadi tidak pernah membuat permohonan inkues kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebaliknya hanya memohon penjelasan kenapa tiada pendakwaan dibuat.

Bagaimanapun beliau diberitahu AGC yang meminta inkues dilakukan susulan gambar jerutan pada leher anaknya yang telah tular.

Yuseri (tengah) bersama sebahagian penyokongnya.
Yuseri (tengah) bersama sebahagian penyokongnya.

Pada prosiding itu Yuseri turut menjelaskan kepada mahkamah yang beliau mengambil tindakan lanjut terhadap kes terbabit kerana mendapati tiada apa-apa tindakan selepas 33 hari kematian anaknya.

"Bagi saya kes ini mudah saja. Ibu bapa hantar anak dan meninggal di taska yang sepatutnya boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak.

"Sedangkan anak yang tersedak susu pun ibu bapa kena reman. Apa istimewanya pengasuh ini? Bila timbul banyak percanggahan yang dikeluarkan oleh IO, saya terpaksa cari rujukan lain," katanya.

Sebelum itu, prosiding yang bermula jam 10 pagi berkenaan sedikit panas apabila Yuseri tidak menjawab soalan Pegawai Pengendali, Nor Azizah Mohamad sehingga memaksa Surita campur tangan.

Surita telah meminta peguam supaya menasihati anak guamnya itu sebelum bangun menangguhkan prosiding.

Yuseri kemudian keluar dalam keadaan marah dan berlaku sedikit ketegangan antara Pegawai Pengendali dan pihak peguam bela.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September ini untuk mendapatkan butiran saksi baharu yang akan dipanggil prosiding yang bersambung pada 8 dan 9 November ini.

Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.