Polis buru sekumpulan lelaki samun pasangan suami isteri

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Polis sedang memburu sekumpulan lelaki warga asing yang disyaki melakukan samun bersenjata parang di sebuah rumah di Kampung Nibong, Kuala Berang, di sini awal pagi Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintenden Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima beberapa laporan polis berkaitan kes samun tersebut.

"Pihak polis kini giat mengesan sekumpulan lelaki warga asing yang dipercayai terdiri daripada lima hingga enam orang.

"Orang ramai diminta tidak gusar kerana pihak polis akan memastikan keselamatan penduduk berada pada tahap selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Raja Saripah Robiah berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan bersenjata.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran," ujarnya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kedua tangan diikat penyamun yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Nibong, Kuala Berang di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu rumah mereka dimasuki sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang sebelum melarikan wang tunai dan barangan kemas dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Artikel Berkaitan: