Steven Sim, Ahmad Maslan jual beli pantun sempena Hari Kebangsaan

Ahmad Maslan, Steven Sim
Ahmad Maslan, Steven Sim
A
A
A

SHAH ALAM - Gelagat dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong berbalas pantun di Twitter sempena menyambut Hari kebangsaan ke-66 mendapat perhatian ramai.

Menerusi hantaran video berdurasi satu minit 11 saat di laman twitter milik Steven Sim pada Khamis, beliau dilihat membalas pantun yang dijual oleh Ahmad.

Kata Steven, perpaduan yang kukuh perlu dijaga agar tidak terlerai.

"En Ahmad menggoreng nasi, bersama timun ada serai, berpadu kukuh ibarat besi, elok simpul jangan terlerai," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian telah 'menjual' sebuah pantun membawa maksud lebih baik berkawan daripada bergaduh.

"En Steven mencari teduh, dalam dewan tinggi setingkat, sudah penat lama bergaduh, baik berkawan bertambah berkat," ujarnya.

Tidak lama kemudian, Steven dan Ahmad dilihat bersemuka dengan meneruskan jual beli pantun.

Ahmad berkata, ada kiblat penunjuk arah, ada dacing penentu timbang, ada pengubat nusa yang parah, ada peluang menamat bimbang.

Artikel Berkaitan:

Pantun itu dibalas oleh Steven dengan menekankan lebih baik bersatu daripada bergaduh.

"Daripada dibiar jurai, lebih baik diikat mati, daripada membenih cerai, lebih baik menanam bakti," jelasnya.