Undi 18 bukan dasar kepartian - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar pihak yang menyalahkan kumpulan menyokong pelaksanaan Undi 18 susulan beberapa keputusan pilihan raya sebelum ini tidak berpihak kepada kerajaan.

Tegasnya, keputusan untuk melaksanakan pindaan itu bukan pilihan individu tetapi ia dipersetujui secara bersama.

Justeru katanya, tindakan pengundi muda memilih parti selain kerajaan juga tidak wajar dipersalahkan.

"Undi 18 ialah dasar bukan kepartian, tidak terhad kepada parti politik tertentu (sebaliknya) ia melangkaui garis parti dan tidak didorong oleh mana-mana kepentingan parti tertentu.

"Dasar (Undi 18) ini juga menggariskan hak sedia ada belia kita untuk mengundi iaitu satu aspek asas untuk melaksanakan hak demokrasi mereka.

"(Jadi) kita harus mengelak daripada menyalahkan pengundi muda atas pilihan dan pilihan mengundi mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar memberi respons itu bagi membalas kenyataan seorang ahli akademik yang menyindir kumpulan menyokong Undi 18 sehingga ia telah diwartakan.

Ini kerana menurut individu tersebut, pelaksanaan itu telah memberi kejayaan besar kepada Pas dan parti Islam.

Dewan Rakyat pada 19 Julai 2019 meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang mengumumkan perkara tersebut turut menyatakan sejarah baharu Malaysia turut tercipta.