Ditahan polis ketika sambut hari jadi

Lelaki (kanan) disiasat berhubung kes kebakaran kilang kitar semula plastik bulan lalu.
Lelaki (kanan) disiasat berhubung kes kebakaran kilang kitar semula plastik bulan lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki ditahan polis sebelum sempat memotong kek hari jadi di sebuah restoran malam tadi.

Lelaki berkenaan yang juga ahli Pertubuhan Pasukan Keselamatan Sukarela Sungai Petani ditahan ketika meraikan ulangtahun ke-34 bersama ahli kumpulan sama dalam sebuah majlis ringkas di restoran dekat Jalan Bakar Sampah di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan kes khianat membabitkan kebakaran besar sebuah kilang kitar semula plastik.

Menurutnya, kes akan siasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api berhubung kes kebakaran kilang di Jalan Bakar Arang, 18 April lalu.

Dalam kejadian kebakaran lalu, seorang anggota bomba cedera kerana terpijak longgokan plastik terbakar ketika operasi memadam kebakaran dijalankan.

Kebakaran turut menyebabkan kerugian mencecah RM11 juta.

Dalam pada itu, kira-kira 30 individu memenuhi pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda semalam sebaik sahaja penahanan lelaki terbabit kerana tidak berpuas hati.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Lydia Ong Kok Fooi yang juga bekas ADUN Berapit serta beberapa penyokong lain.

Artikel Berkaitan:

Kok Fooi turut membuat laporan polis kerana merasakan penahanan dibuat tanpa alasan kukuh, disyaki akibat salah guna kuasa anggota polis dan memohon agar siasatan dilakukan terhadap polis yang terlibat selain mahu merujuk kepada Polis Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Sementara itu, di Mahkamah Sungai Petani, lelaki terbabit dikenakan perintah reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Reman dikeluarkan Majistret Nurul Aina Ahmad yang selesai kira-kira jam 11 pagi tadi sebelum individu terbabit dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.