KPM sedia bincang kekeliruan pelaksanaan modul penghayatan hadis

Lim Hui Ying
Lim Hui Ying
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Pendidikan (KPM) sedia bertemu mana-mana pihak untuk berbincang mengenai kekeliruan berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, kekeliruan berkenaan timbul apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan mereka sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.

Beliau sekali lagi menegaskan pelaksanaan modul terbabit hanya akan dilaksanakan kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja dan bukan kepada mereka yang beragama lain.

"Jadi mereka (termasuk NGO) tidak perlu risau, saya faham kerisauan mereka ini, namun kami di KPM bersedia untuk bertemu dan berbincang sekiranya mereka ada apa-apa soalan berkaitan.

"Hadis 40 ini semua orang tahu hanya untuk murid dan guru yang beragama Islam, kami di KPM berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Siu 1 & 2, di sini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Omar Mahli dan alumni sekolah berkenaan Tan Sri Lim Kit Siang.

Mengulas mengenai kekurangan guru di SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata, KPM telah selesai mendapatkan data di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan akan mula mengumpul data di Johor bermula 7 September.

"Sebenarnya, isu kekurangan guru ini bukan sahaja melibatkan SJKC dan SJKT sahaja tetapi turut melibatkan Sekolah Kebangsaan. Antara subjek yang menghadapi masalah adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam,” katanya.

Pada Sabtu, Dong Jiao Zong dipetik sebagai meluahkan kebimbangan mereka apabila hanya 15 guru pelatih diterima masuk ke subjek major Bahasa Cina dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan bilangan berkenaan disifatkan tidak cukup untuk menampung situasi kekurangan guru subjek Bahasa Cina.

ARTIKEL BERKAITAN:

Modul Hadis 40 Imam Nawawi: Tiada paksaan kepada bukan Islam - PM

61 SMKA, 228 SABK terlibat Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi - KPM

MUIS sokong pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pelihara keharmonian masyarakat

KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar

'Usah jadi hero dalam isu hadis 40' - Ahmad Fadhli