'Kenaikan gaji minimum berpotensi tingkat pengangguran'

Suasana ketika perbahasan Debathon Parlimen Belia 2023 di Dewan Persidangan Parlimen pada Sabtu. Gambar kecil: Mas Ermieyati
Suasana ketika perbahasan Debathon Parlimen Belia 2023 di Dewan Persidangan Parlimen pada Sabtu. Gambar kecil: Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan gaji minimum bukan jalan alternatif yang baik untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup sebaliknya turut memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, inisiatif itu berpotensi meningkatkan kadar pengangguran kerana kemampuan majikan untuk menggajikan pekerja sekali gus membantutkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

"Kenaikan gaji mungkin memberi kelegaan kepada pekerja pendapatan rendah, tetapi dalam masa sama boleh menyebabkan seseorang kehilangan pekerjaan.

"Ini kerana majikan mungkin bertindak dengan mengurangkan pengambilan pekerja, memotong tempoh jam bekerja atau meningkatkan automasi untuk mengimbangi kos buruh yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Debathon Parlimen Belia 2023 di Dewan Persidangan Parlimen pada Sabtu.

Sesi perbahasan keempat bertajuk: Peningkatan Kos Sara Hidup di Malaysia, dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Tambah Mas Ermieyati, program sosial atau dasar cukai disasar antara pendekatan lebih komprehensif dan berkesan dalam membantu individu berpendapatan rendah tanpa mengganggu pasaran pekerjaan atau menyebabkan inflasi.

Sementara itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pula berpandangan, individu yang bergaji minimum boleh hidup dengan baik jika bijak menguruskan kewangan dan berbelanja secara berhemah.

"Kerajaan juga melaksanakan pelbagai usaha bagi meringankan beban rakyat seperti subsidi dan Menu Rahmah.

"Jadi, kita harus tahu bagaimana untuk mengawal kewangan supaya tidak berlaku pembaziran," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!