Segera ke klinik, hospital jika ada simptom cacar monyet - Exco

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Orang ramai di negeri ini dinasihat supaya segera ke klinik atau hospital berhampiran jika terdapat gejala cacar monyet (mpox).

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, gejala berkenaan adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.

"Penyakit ini berjangkit dan perlu dikuarantin sekiranya positif. Saya harap orang ramai berwaspada dan lakukan saringan kesihatan jika terdapat tanda-tanda yang telah dinyatakan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Kesihatan Awam yang berlangsung di Aeon Mall Station 18 di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat dua kes positif jangkitan mpox di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan menjelaskan kes itu disahkan pada 26 Julai membabitkan seorang lelaki warga asing, manakala kes kedua ialah seorang lelaki tempatan yang juga kontak kepada kes mpox pertama serta disahkan positif mpox pada 29 Julai lepas.

Sivanesan berkata, sehingga kini, masih tiada sebarang laporan melibatkan penyakit cacar monyet di negeri ini.

Katanya lagi, bagi membendung penyakit itu daripada menular, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah melaksanakan langkah pencegahan awal melalui pemantauan di semua lokasi berisiko termasuk pintu masuk antarabangsa.

"Pemantauan dilaksanakan terhadap semua individu berisiko termasuk pengembara atau pelancong melalui saringan mpox yang dilakukan di pintu masuk antarabangsa khususnya lapangan terbang.

"Selain itu, latihan turut diberikan kepada semua anggota JKN bagi memastikan pengendalian kes berkaitan mpox ini dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang kempen yang dilaksanakan, beliau berkata, ia dianjurkan oleh Quest International University dengan kerjasama JKN Perak serta bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya berkaitan penjagaan dan rawatan kulit.

Beliau berkata, perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma selain orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti lain seperti forum kesihatan, bengkel masakan makanan berkhasiat dan sebagainya.

"Usaha melalui kempen ini harus diberikan pujian kerana bukan hanya percuma, malah turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan yang sememangnya berguna untuk orang ramai,” katanya. - Bernama