PRK: Jaga tata tertib, keharmonian Bangsa Johor - Onn Hafiz

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

MUAR - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan semua pihak, baik pembangkang mahu pun kerajaan yang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram agar menjaga tatatertib dan mengekalkan keharmonian Bangsa Johor.

Menegaskan perkara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak mahu disebabkan keghairahan berkempen selama dua minggu, ada pihak yang menunjukkan tindakan yang kurang baik dan mengganggu-gugat keharmonian sedia ada.

"... sebagai Menteri Besar (saya minta) supaya semua pihak sama ada sebelah sana dan sini, sama-sama berkempen secara berhemah, tertib dan baik supaya keharmonian Bangsa Johor dikekalkan, jangan disebabkan keghairahan berkempen hingga terpengaruh dengan cara kawan-kawan negeri lain.

"Johor ada cara Johor, Bangsa Johor sangat tahu apa saya maksudkan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi calon Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi tersebut, Nazri Abdul Rahman di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Beliau juga mengingatkan jentera Kerajaan Perpaduan supaya bekerja keras dan berusaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Nazri, yang diyakini mampu berjasa kepada rakyat.

Beliau menyifatkan anak jati Simpang Jeram itu sebagai calon yang sangat tepat untuk kerusi berkenaan, bersandarkan kepada ketokohan dan pengalaman besar Nazri sebagai jurutera selama hampir 30 tahun di Majlis Perbandaran Muar.

"Beliau individu yang baik dan rajin, ramai rakyat Simpang Jeram mengenali beliau dan jadi lebih mudah untuknya mendekati dengan pengundi di kawasan ini,” katanya.

PRK bagi kerusi tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Nazri, calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan raya, terdapat 40,379 pengundi di DUN Simpang Jeram. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram bermula hari ini

Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 9 pagi ini

PRK: Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

Ahmad Zahid, Hamzah iring calon PRK Pulai

PRK: Calon Bebas paling awal tiba di pusat penamaan calon Parlimen Pulai

PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram ditutup 10 pagi

PRK: Lautan merah, biru penyokong penuhi pusat penamaan calon

PRK: Penyokong PH-BN laung reformasi, tolak PN, tolak rasuah

PRK: Proses penamaan calon terkawal, tiada provokasi

PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

PRK: Saingan tiga penjuru di DUN Simpang Jeram