Pemulihan bekalan air capai 91.5 peratus

Abdul Raof Ahmad
Abdul Raof Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Pemulihan bekalan air bagi kawasan Klang telah mencapai tahap 91.5 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini 16 kawasan dicatatkan masih dalam proses pemulihan sepenuhnya.

Menurutnya, antaranya kawasan Batu Belah, Bandar Sultan Sulaiman Fasa 1 dan 3, Bandar Puteri dan Putera 2, Berkely/Eng Ann, Jalan Kapar 1-5, Jalan Limbungan, Jalan Syahbandar, Kampung Keretapi.

"Selain itu Pangsapuri Sri Perantau, Parkland, Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Perindustrian Bukit Raja Selatan, Pelabuhan Utara, Sungai Putus, Sungai Sireh dan Taman Sentosa turut masih dalam proses pemulihan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, aktiviti pemulihan dengan meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi menstabilkan bekalan ditumpukan ke kawasan yang masih dalam proses pemulihan.

"Status pemulihan akan dikemaskini dari masa ke semasa dan pelanggan yang terjejas boleh menghubungi di talian 15300 untuk bantuan atau rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk maklumat terkini.

"Bantuan dan permohonan bagi bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan disamping Pusat Khidmat Setempat yang masih terus beroperasi sehingga bekalan pulih," katanya.

Terdahulu, 65 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting - Taiping pecah sejak Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan: