800 waris Haji Arshad, Sawa berhimpun

Hampir 800 waris Sawa dan Haji Arshad berkumpul di Kampung Talang, semalam. (Gambar kecil: Abu Aziz)
Hampir 800 waris Sawa dan Haji Arshad berkumpul di Kampung Talang, semalam. (Gambar kecil: Abu Aziz)
A
A
A
KUALA PILAH - Hampir 800 waris Haji Arshad dan Sawa yang menetap di merata negeri di seluruh negara berjaya dikumpulkan dalam perhimpunan keluarga di Kampung Talang di sini, semalam.

Himpunan suku Seri Lemak Minangkabau ini berlangsung di Rumah Kelapaan, Datuk Orang Kaya Muda Abu Aziz Rashid yang merupakan Datuk Lembaga Adat Luak Ulu Muar.

Abu Aziz , 68, berkata, tercetusnya idea tersebut daripada adiknya Muhamad Taib Abd Rashid, 63, yang mahukan pertemuan kali keempat ini diadakan dengan meriah.

“Sejarah ringkas keluarga kami bermula apabila Nyanya dari Minangkabau iaitu dari suku Seri Lemak Minangkabau datang ke sini (Negeri Sembilan) berkahwin dengan Jabar.

“Selepas kematian Jabar, Nyanya berkahwin pula dengan Penghulu Ajong daripada suku Biduanda.

“Mereka mempunyai empat orang anak dan salah seorangnya Rebo dan berkahwin dengan Engah Pulau seterusnya dikurniakan lima orang anak, salah seorangnya Kusah berkahwin dengan Terisah.

“Kusah dan Terisah pula, dikurniakan tujuh anak iaitu Idris, Embong, Dusin, Simah, Atut, Dinah dan Simpo.

“Simah mempunyai empat anak salah satunya merupakan pasangan suami isteri Haji Arshad dan Sawa,” katanya ketika ditemui semalam.

Himpunan kali keempat buat keluarga



Menurut Abu Aziz, perjumpaan silaturahim keluarga itu yang pertama sekitar 1950-an, kemudian pada 1976, 2006 dan terkini semalam, yang mana waris keluarga ini sudah mencecah ratusan orang.
Artikel Berkaitan:


Mizan menunjukkan dokumen salah silah keluarga Nyanya.
Mizan menunjukkan dokumen salah silah keluarga Nyanya.



“Alhamdulillah, keluarga kita semakin ramai dan oleh itu, perjumpaan seperti ini perlu kita anjurkan agar keluarga kita sentiasa kenal mengenali tidak terputus hubungan dan yang penting mereka tahu asal usul.

“Dalam masa yang sama, saya turut menekankan tentang pengamalan adat perpatih susulan masih ramai terutama orang muda tidak faham mengenainya.

“Bagaimanapun, di zaman serba canggih ini penerangan berhubung adat perpatih boleh dicari melalui internet, namun jika masih kurang jelas, kita boleh jelaskan dengan lebih terperinci lagi melalui lisan,” katanya.

Pihaknya juga bercadang meneruskan lagi pertemuan seperti ini pada masa akan datang, selain yakin jumlahnya bertambah mencecah ribuan.

Sementara itu, Muhamad Taib mengakui bukan mudah untuk mengumpulkan keluarga besar ini berikutan masing-masing sudah menetap di luar Negeri Sembilan.

“Dekat dua bulan juga kita buat persediaan dan syukur semuanya berjalan lancar dengan diisi dengan aktiviti ceramah perdana oleh Ustaz Badli Shah,” katanya.

Teruja kenali asal keturunan



Sementara itu salah seorang waris Dinah, Kamarul Mizan Ipit, 54, berkata, ini adalah pertemuan pertamanya dan sangat gembira apabila dapat mengenali susur galur keturunannya.

“Saya bertemu waris Simah ini dekat setahun lalu. Pada asalnya, saya datang bertemu Datuk Lembaga Adat Luak Ulu Muar iaitu Datuk Orang Kaya Muda Abu Aziz untuk menyerahkan dokumen salah silah keluarga Nyanya.

“Apabila disemak, kami merupakan saudara dan ketika ini saya giat mengumpulkan data keluarga Dinah.

“Manakala pertemuan di sini merupakan pertemuan keluarga pertama saya dan seronok dapat berjumpa waris waris dan keluarga, masing masing sudah bercucu-cicit,” katanya.