Tugas getir menanti Harimau Muda

Elavarasan (kanan) dan Anh Tuan ketika sidang akhbar pra perlawanan pada Rabu. - Foto Facebook FAM
Elavarasan (kanan) dan Anh Tuan ketika sidang akhbar pra perlawanan pada Rabu. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Bola Sepak Bawah 23 tahun (B-23) perlu mencari pendekatan terbaik sekiranya mahu menewaskan Vietnam, dalam aksi separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial pada Khamis.

Atas kertas, skuad Harimau Muda dilihat bukan sebagai pasukan pilihan di perlawanan separuh akhir itu ketika berdepan juara bertahan tersebut.

Namun, sudah tentu tiada yang mustahil buat skuad muda negara untuk melakar kejutan selepas mencatat keputusan cemerlang dalam dua aksi peringkat kumpulan sebelum ini apabila menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA, Indonesia 2-1 dan Timor Leste 3-1.

Bagaimanapun, pengendali pasukan negara, E Elavarasan seolah-olah merendah diri dan tidak mahu mendabik dada dengan rentak positif dipamerkan para pemainnya.

Malah, beliau mengakui Vietnam mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding pasukan negara selain pasukan negara agak janggal beraksi di peringkat kalah mati dalam kejohanan tersebut.

"Di Asia Tenggara, Vietnam sememangnya pasukan yang bagus. Jadi, jika anda tanya saya, semua pemain mereka bagus dan mereka sering mencapai kejayaan dalam kejohanan yang disertai mereka.

"Jurulatih (Vietnam) adalah kekuatan mereka, beliau sentiasa tahu apa perlu dilakukan. Saya sangat mengagumi jurulatih itu

"Kelemahan kami adalah ini kali pertama kami berjaya melangkah ke separuh akhir selepas sekian lama. Itu adalah kelemahan kami," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, skuad Harimau Muda menyasarkan untuk mara ke final dan sekali gus menjuarai kejohanan tersebut.

Dua pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan Vietnam lebih unggul dengan kemenangan ketika Piala Asia B-23 dan Sukan SEA tahun lalu.

Dalam pada itu, pengendali Vietnam Hoang Anh Tuan menjangkakan perlawanan sengit membabitkan kedua-dua pasukan.

"Saya lihat ia akan menjadi perlawanan yang sengit dan berharap kedua-dua pasukan akan menampilkan persembahan yang baik," katanya.