Banjir Pulau Pinang: 11 mangsa dibenar pulang

No Image Caption
A
A
A

TASEK GELUGOR - Seramai 109 mangsa banjir daripada 20 keluarga masih lagi ditempatkan di dua pusat pemindahan di Butterworth dan Merbau Kudung, di sini, sehingga pukul 6.00 petang tadi berikutan banjir belum surut di kawasan rumah mereka.

Jumlah itu berkurangan 11 orang daripada dua keluarga berbanding mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan berkenaan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, seramai 74 penduduk dari 13 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Muhibbah Merbau Kudung, Sungai Dua di sini.

"11 mangsa banjir yang berpindah ke Dewan Muhibbah Merbau Kudung sejak semalam telah dibenarkan pulang ke kediaman hari ini berikutan banjir di rumah mereka telah surut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dua keluarga itu, katanya, membersihkan rumah mereka hari ini dan dibantu Angkatan Pertahanan Awam.

Boon Poh berkata, seramai 35 mangsa banjir dari tujuh keluarga masih berada di pusat pemindahan di Surau Kampung Tok Sani, Butterworth.

Katanya selain menyediakan masakan untuk berbuka dan bersahur, Kerajaan Pulau Pinang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat serta beberapa agensi lain turut memberi bantuan keperluaan asas kepada mangsa banjir.

"Selain memberi bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan, kami turut mengagihkan makanan serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di sekitar Mak Mandin yang tidak berpindah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihaknya turut membuat pemantauan serta sentiasa bersiap sedia bermula pukul 1 pagi hingga 3 pagi esok berikutan ramalan hujan lebat dalam masa yang sama air laut sedang pasang besar ketika itu. - Bernama