Bekas banduan didakwa cuba rogol, rompak nenek

Tertuduh tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping atas tiga pertuduhan melakukan rompakan dan cubaan rogol ke atas seorang warga emas, minggu lalu.
Tertuduh tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping atas tiga pertuduhan melakukan rompakan dan cubaan rogol ke atas seorang warga emas, minggu lalu.
A
A
A

TAIPING - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan rompakan dan cubaan rogol terhadap seorang warga emas, minggu lalu.

Tertuduh S Saaran, 32, yang baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara dua bulan lalu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Saaran didakwa melakukan cubaan rogol terhadap seorang wanita berusia 75 tahun di ruang tamu di sebuah rumah di Taman Assam Maju dalam daerah Larut Matang, sekitar jam 8.30 pagi pada 15 Ogos 2023.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM20,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas faktor tidak mempunyai pendapatan kerana baru keluar dari penjara.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tidak mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dibicarakan.

Dalam prosiding sama, Saaran didakwa melakukan rompakan dengan bersenjatakan sebilah pisau sehingga mendatangkan kecederaan ke atas mangsa iaitu wang tunai RM10 serta rantai emas.

Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan sama ke atas seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan menantu mangsa iaitu wang tunai RM5,000 serta sebuah kereta jenis Honda.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat serta Seksyen 392 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Bagi dua pertuduhan itu, mahkamah menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tidak mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah turut menetapkan 25 September depan sebagai sebutan semula ketiga-tiga kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada 17 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang nenek bukan sahaja menjadi mangsa samun malah dicabul seorang lelaki mengakibatkan mangsa kerugian lebih RM5,000.

Dalam kejadian itu, kenderaan jenis Honda HRV milik menantu mangsa turut dilarikan sebelum berjaya dijumpai semula selepas ditinggalkan kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!