Gagal bayar hutang setengah juta, peniaga cedera dibelasah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang peniaga cedera dipukul sekumpulan lelaki kerana tidak membayar hutang sebanyak RM500,000 di Pandan Perdana, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 56 tahun bersama dua rakan perniagaan dan seorang pemandu berada di pejabat pada jam 11 pagi.

"Sekumpulan enam lelaki telah datang ke pejabat itu kerana mahu berbincang dengan pengadu berkenaan hutang yang dipinjam sebanyak RM500,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Azam berkata, mangsa bagaimanapun telah dipukul sekumpulan lelaki terbabit kerana tidak dapat membayar pinjaman terbabit.

"Akibat kejadian tersebut, lelaki itu mengalami bengkak di bahagian mata kiri, cedera di kepala dan hidung. Pengadu turut mengalami kerugian wang tunai RM18,500," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah memberkas kesemua suspek berusia 30 tahun hingga 38 tahun di Taman Puchong Prima, Puchong pada jam 1.40 pagi, Selasa.

"Kita turut merampas sejumlah wang tunai dan dua buah telefon bimbit," katanya.

Menurutnya, semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek ditahan reman lima hari bermula Selasa hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.