Pengarah, syarikat didakwa tawar rasuah RM500,000 setahun

Abdul Hamid Shaikh (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu, atas pertuduhan menawarkan suapan sebanyak RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah seorang bekas menteri Kabinet berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Abdul Hamid Shaikh (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu, atas pertuduhan menawarkan suapan sebanyak RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah seorang bekas menteri Kabinet berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan pada Rabu atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM7.5 juta, kepada seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk, bagi faedah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa, berhubung konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL), tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamid Shaikh selaku pengarah syarikat berkenaan, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama tempoh 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun.

Ia didakwa bagi faedah Annuar sebagai dorongan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu, mempercepatkan proses pengambil alihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh Hydroshoppe.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu pula didakwa bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan, RM500,000 bagi tempoh sama kepada individu serupa untuk faedah Annuar selaku menteri, dengan niat memperoleh perniagaan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur, di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah seksyen 17A(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia idapat dinilai atau RM1 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Seksyen itu turut memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Shu Ivu.

Kedua-dua mahkamah membenarkan syarikat dan tertuduh itu diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 serta memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di pejabat SPRM di sini, setiap dua bulan.

Mahkamah menetapkan 2 Jun depan untuk sebutan semula kes.