[VIDEO] Najib kekal dipenjara, mahkamah tidak benar semak kes SRC

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah). Foto fail Bernama.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah). Foto fail Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Berbekalkan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara pengerusi panel hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut kerana berpandangan sebaliknya.

Ini bermakna bekas Ahli Parlimen Pekan ini kekal dihukum di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vernon berkata, panel hakim membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan tersebut tidak lebih kepada perintah untuk menyemak merit keputusan rayuan akhirnya.

Selain itu katanya, keengganan peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik membuat penghujahan lisan semasa prosiding rayuan tahun lalu, mengundang kepada kegagalan rayuan akhirnya.

“Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini membenarkan peguam itu bertindak untuk menyampaikan hujahan, namun peguam itu sendiri yang memilih untuk menolaknya.

“Mahkamah berpendapat, jelas bahawa pemohon sendiri yang mencipta nasibnya yang malang,” kata Vernon.

Bagi permohonan untuk semakan semula bukti baharu beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, dibuat berdasarkan penilaian yang betul dan hujahan pemohon tidak boleh dipertahankan.

Sementara permohonan semakan penangguhan pula beliau berkata, undang-undang mengenai penangguhan telah diselesaikan.

Ini kerana katanya, mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk membenarkan atau menolak penangguhan, maka tiada pelanggaran keadilan berlaku.

Sementara itu, menyentuh permohonan Najib untuk semakan semula sabitan dan hukumannya, mahkamah memutuskan panel terdahulu telah mempertimbangkan 94 alasan rayuan, penghujahan bertulis dan keputusan mahkamah terdahulu dengan betul.

“Pendapat pemohon bahawa haknya telah dilanggar, sedangkan beliau tidak boleh bersikap objektif kerana mahkamah tidak boleh memutuskan perkara itu kecuali terdapat isu berat sebelah, prejudis atau perlanggaran keadilan.

“Panel hakim tidak melihat sebarang sebab untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan yang terdahulu,” katanya.

Panek hakim menegaskan bahawa, proses semakan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 terhadap keputusan mahkamah ini pada Ogos tahun lalu, tidak seharusnya disalahgunakan.

“Mengambil kira alasan-alasan tersebut, mahkamah mendapati kesemua permohonan pemohon adalah tidak bermerit.

“Sehubungan itu, semua permohonan semakan hendaklah dan sewajarnya ditolak,” katanya.

Sebelum ini, menerusi notis usul permohonannya untuk mendapatkan kebenaran semakan, Najib memohon keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos tahun lalu yang menolak rayuannya berhubung bukti baharu membabitkan Mohd Nazlan dan rayuan supaya hakim itu hilang kelayakan daripada mendengar kesnya, diketepikan.

Jika ia dibenarkan, beliau memohon perintah supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan atau perintah perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim lain.

Beliau juga memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri dan seterusnya memohon perintah supaya ia didengar semula di hadapan panel lain, tidak kurang daripada tujuh hakim.

Bekas Presiden UMNO ini turut memohon kebenaran untuk menyemak dan mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhirnya.

Jika dibenarkan, Najib memohon dilepas dan dibebaskan atau secara alternatif rayuan akhir terbabit didengar semula panel lain.

Pada masa sama, beliau memohon mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu permohonan semakan itu didengar dan diputuskan.

Yang terakhir, beliau memohon untuk dibenarkan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk menangguhkan rayuan akhir.

Dalam afidavit, beliau percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku pemohon diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.